(Video) Bikin Sebak, Usaha Si Bapa Cari Rezeki, Usahakan Biasiswa Buat Anaknya Hingga Berjaya Lanjut Pelajaran

Beredar di media sosial berkenaan satu video yang mengisahkan pengorbanan seorang bapa yang bekerja sebagai penghantar makanan berusaha untuk mendapatkan biasiswa bagi memastikan anaknya dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi mengejar cita-citanya.

Video yang menyentuh hati tersebut telah mendapat perhatian daripada warganet dan menjadi tular di media sosial.

Pada awal video yang dikongsikan pengguna TikTok bernama Dzikru itu, dia telah mengenalkan bapanya.

“Kenalkan, ini ayah saya dan ini pekerjaannya,” ujarnya sambil mengarahkan jari ke arah bapanya yang sedang bersiap untuk keluar mencari rezeki.

Dzikru menyatakan bahawa bapanya itu sedang gembira kerana mendapat arahan untuk menghantar pesanan berdekatan rumahnya.

Dalam video TikToknya, Dzikru cuba menunjukkan pengorbanan ayahnya itu dalam memenuhi keperluan keluarganya.

“Lihatlah semangatnya untuk bekerja demi keluarganya. Saya sangat berbangga,” katanya.

Dalam video itu dapat dilihat ayahnya sedang mengambil bungkusan di sebuah rumah, lengkap dengan berpakaian seragam bersama dengan motosikal miliknya.

Bukan itu sahaja, Dzikru turut bercerita bahawa selama ini dia mempunyai minat dalam bidang membaiki mesin atau enjin. Oleh sebab itu, dia selalu mengisi masa lapangnya dengan membantu melakukan servis motosikal ayahnya. Dia juga turut menyatakan hasratnya untuk dapat sambung belajar dalam jurusan ‘teknik mesin’.

Kebetulan pada ketika itu, bapanya telah mendapat maklumat berkenaan satu program biasiswa yang ditawarkan untuk anak penghantar makanan daripada syarikat ayahnya bekerja.

Tanpa membuang masa, ayahnya itu terus mendaftarkan anaknya untuk mendapatkan biasiswa berkenaan.

Dzikru kemudiannya menyatakan bahawa dia telah lulus dalam temuduganya yang pertama bagi program biasiswa tersebut.

Seterusnya, dia telah berjaya untuk mendapatkan tempat bagi menyambung pelajarannya ke Politeknik Negeri Jakarta sambil menunjukkan persiapan dokumen yang bakal dibawanya nanti.

Detik-detik ketika pengumuman yang menyatakan bahawa dia telah berjaya mendapat tempat untuk menyambung pelajaran itu telah dikongsikan bersama keluarganya. Dapat dilihat bahawa ahli keluarganya turut bergembira dengan berita baik itu.

Dzikru sangat berterima kasih kepada ayahnya serta semua pihak yang membantunya kerana telah mendaftarkan dirinya untuk biasiswa tersebut. Tambahnya, dia berjanji agar tidak akan mensia-siakan peluang keemasan itu.

“Saya janji tidak akan mensia-siakan peluang sambung belajar ini.

“Saya bangga pada bapa saya,” katanya.

Video tersebut telah menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah mendapat sebanyak lebih daripada 80 ribu tontonan daripada warganet.

@dzikru.rahman

makasih bapak, ibu. makasih juga @gojekindonesia ❤ #fyp

♬ Yang Terbaik Bagimu – Jangan Lupakan Ayah – Ada Band

Sumber: Heta News, TikTok

The post (Video) Bikin Sebak, Usaha Si Bapa Cari Rezeki, Usahakan Biasiswa Buat Anaknya Hingga Berjaya Lanjut Pelajaran appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments