PKPB Di Empat Zon Merah, Tiga Di Sabah & Satu Di Selangor Bermula 9 Oktober Ini

Kuala Lumpur, 7 Oktober – Empat kawasan di Sabah dan Selangor bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 Oktober.

Empat daerah tersebut ialah Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media hari ini.

“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan situasi di beberapa kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah iaitu di Sabah dan Selangor kerana mempunyai lebih 40 kes positif.

“Melihat kepada peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut, maka mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat kawasan tersebut bermula 9 Oktober 2020.”

Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung penularan dan pengesanan kes secara bersasar sepanjang tempoh 14 hari, katanya.

“Pergerakan keluar masuk ke kawasan tersebut dan dari kawasan tersebut adalah tidak dibenarkan. Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rangkaian perkhidmatan perlu yang dibenarkan,” ujarnya.

Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyenaraikan perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut, tambahnya.

Antara SOP yang dikenakan ialah hanya dua orang sahaja dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan.

Semua perniagaan bukan perkhidmatan perlu adalah ditutup manakala restoran, kedai makan, kedia runcit dan kedai serbaguna dibenarkan beroperasi 6 pagi hingga 6 petang. Sementara itu, pembelian makanan secara berbungkus dan pandu lalu sahaja dibenarkan.

Jelasnya, waktu operasi stesen minyak adalah dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang manakala operasi pasar harian 6 pagi hingga 2 petang sahaja. Sementara itu, operasi pasar malam, pasar borong, pasar tani dan sebagainya adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Perkhidmatan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan beroperasi 24 jam, katanya.

Selain itu, perkhidmatan e-hailing hanya boleh membawa maksimum dua penumpang dan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja. Tambahnya, perkhidmatan bas ekspress dan bas henti-henti tidak dibenarkan.

“Penduduk tidak dibenarkan keluar kawasan dan keluar bekerja sepanjang tempoh PKPB,” katanya, menggesa majikan agar tidak mengenakan tindakan kepada pekerja yang terlibat.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara (MKN)

The post PKPB Di Empat Zon Merah, Tiga Di Sabah & Satu Di Selangor Bermula 9 Oktober Ini appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments