Bantuan MYDIN Prihatin Kepada Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Subang Jaya, Selangor, 20 Oktober 2020: Prihatin dengan cabaran semasa yang dihadapi masyarakat ketika berdepan pandemik Covid-19, rangkaian peruncit dan pemborong terkemuka tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di seluruh Selangor dan beberapa negeri lain.

Program bantuan tanggungjawab sosial korporat, MYDIN Prihatin yang turut mendapat kerjasama syarikat Mamee ini bakal mengagihkan sumbangan berbentuk bantuan makanan kering yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Klang. Bantuan tersebut akan disumbangkan kepada masyarakat golongan asnaf, miskin dan berpendapatan rendah sekitar daerah Klang dan Petaling Jaya, Selangor.

Menurut wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Mohd Nazmi Zainuddin “Sumbangan daripada entiti korporat amatlah diharapkan dalam bersama-sama dengan JKM bagi membantu mereka yang memerlukan terutamanya keluarga yang terjejas pendapatan ketika negara dilanda pandemik Covid19 ini.

Kami dari pihak JKM amat berterima kasih kepada MYDIN dan syarikat terlibat yang turut menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya”. MYDIN dalam pada itu juga dalam fasa menyerahkan bantuan kepada 15 rumah kebajikan anak-anak yatim, asnaf dan warga emas yang berdaftar di seluruh negara.

Bantuan yang dihulurkan dari segi barangan keperluan harian dan baucar tunai MYDIN diharap dapat meringankan kos perbelanjaan harian mereka. Rumah kebajikan adalah antara yang terkesan akibat kurangnya menerima bantuan berikutan semua pihak turut terjejas oleh krisis yang dibawa Covid-19 ini.

MYDIN sentiasa prihatin dengan nadi suara masyarakat dan mengambil inisiatif untuk memberi semula kepada masyarakat yang memerlukan melalui tawaran barangan pada harga yang berpatutan dan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat.

Justeru itu, MYDIN turut mengajak syarikat-syarikat korporat dan mereka yang berkemampuan turut tampil menghulurkan bantuan tidak kiralah dari segi kewangan mahupun bantuan lain bagi turut bersama-sama meringankan bebanan mereka yang memerlukan.

The post Bantuan MYDIN Prihatin Kepada Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments