“Amerika, Jangan Biarkan COVID-19 Menguasai Anda” – Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin memberitahu rakyat Amerika  agar tidak membiarkan COVID-19 “menguasai anda” setelah tiba di Rumah Putih dari Pusat Perubatan Walter Reed, lokasi beliau menerima rawatan COVID-19, lapor agensi Anadolu.

Menerusi video dari kediaman presiden yang disiarkan di Twitter, Trump berkata beliau “banyak belajar” mengenai COVID-19 semasa berada di hospital tentera di Bethesda, Maryland.

“Satu perkara yang pasti: Jangan biarkan ia menguasai anda. Jangan takut kepadanya. Anda akan mengalahkannya,” kata Trump. “Kami mempunyai peralatan perubatan terbaik. Kami mempunyai ubat terbaik, semuanya dibangunkan baru-baru ini.”

Trump, 74, pada Jumaat berkata  beliau dan wanita pertama Melania Trump disahkan positif COVID-19, beberapa jam setelah Hope Hicks, salah seorang pembantu terdekatnya yang sering bersama menyertai perjalanannya, yang terbaharu pada Rabu lalu, disahkan positif  COVID-19.

Presiden dibawa ke Pusat Perubatan Walter Reed pada petang Jumaat.

Trump berkata sebagai pemimpin negara beliau harus melakukan pergerakan, sambil menambah: “Saya tahu adanya risiko.Juga bahaya, tetapi tidak mengapa. Dan sekarang saya lebih baik. Mungkin saya imun, saya tidak tahu.”

Presiden juga memberitahu rakyat Amerika supaya sentiasa berjaga-jaga.

Sumber: BERNAMA

The post “Amerika, Jangan Biarkan COVID-19 Menguasai Anda” – Trump appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments