Waktu Operasi Perniagaan Seperti Restoran & Kedai Serbaneka Dilanjutkan Hingga 2 Pagi – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 10 Sept – Waktu operasi perniagaan seperti restoran dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga 2 pagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut diputuskan berikutan terdapat rungutan daripada sebahagian pengusaha perniagaan.

“Banyak rungutan terutamanya di kawasan pelancongan seperti di Langkawi misalnya, mereka terpaksa tutup sehingga pukul 12.

“Hiburan sudah tidak ada kerana kita tidak benarkan, makan sajalah yang boleh.

“Jadi bagi pelancong, pengusaha dan sebagainya  minta kita supaya melanjutkan tempoh selama dua jam dan mesyuarat bersetuju,” katanya dalam sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Jelasnya, ia bukan semata-mata merujuk kepada kawasan pelancongan, malah restoran-restoran, kedai serbaneka dan sebagainya turut menggunakan arahan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan hanya menghadkan waktu operasi perniagaan hanya sehingga pukul 12 tengah malam sahaja bagi mengurangkan jangkitan COVID-19.

Sumber: BERNAMA TV

The post Waktu Operasi Perniagaan Seperti Restoran & Kedai Serbaneka Dilanjutkan Hingga 2 Pagi – Ismail Sabri appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments