(Video) Tikus Dijulang Sebagai Hero & Dapat Pingat Emas Kerana Bantu Kesan Periuk Api & Selamatkan Nyawa Manusia

tikus periuk api

Seekor tikus dianugerahkan pingat emas atas jasanya menyelamatkan nyawa orang ramai daripada menjadi mangsa periuk api.

Dinamakan Magawa, tikus gergasi Afrika ini ditugaskan untuk mengesan kewujudan periuk api di kawasan berisiko di Kemboja.

Ia telah dilatih sebuah badan amal yang berkepakaran dalam mengesan periuk api dan tuberkulosis, dikenali sebagai APOPO.

Sejak dilatih, ia dilaporkan telah menemui 39 periuk api dan 28 bahan letupan yang tidak meletup.

Magawa boleh menyaring suatu kawasan berkeluasan 200 meter persegi dalam tempoh hanya 30 minit. Keluasan yang serupa dengan saiz gelanggang tenis ini memerlukan masa empat hari bagi manusia untuk mengesan periuk api secara manual.

Sehingga hari ini, Magawa dikatakan telah berjaya mengesan periuk api bagi kawasan lebih kurang 141,000 meter persegi, bersamaan keluasan 20 padang bola sepak.

Susulan itu, ia dinobatkan sebagai Hero Tikus dan dianugerahkan pingat emas miniatur PDSA Gold Medal, anugerah khas untuk keberanian haiwan dan kesetiaan haiwan terhadap tugasan.

Anugerah ini menjadikan Magawa tikus pertama daripada badan amal APOPO yang menerima pengiktirafan dalam tempoh 77 tahun kewujudan badan tersebut.

Tikus-tikus mereka dilatih selama sekitar setahun dan diberi makanan untuk mengesan bahan kimia yang berpotensi meletup.

Sebaik mengesan periuk api, ia akan mencakar permukaan tanah sebagai isyarat kepada pengawal. Malah, haiwan ini juga dipercayai lebih pantas mengesan bahaya berbanding pengesan logam.

Disebabkan saiznya yang kecil, tikus-tikus ini dipercayai mempunyai lebih kurang risiko ketika melalui kawasan yang dipenuhi periuk api.

Kini, Magawa dikatakan menghampiri usia persaraan dan bakal diganti tikus baru yang dilatih badan yang sama.

Kemboja dipercayai mempunyai sekitar 4 hingga 6 juta periuk api tertanam di seluruh negaranya antara tahun 1975 hingga 1998 yang telah mengakibatkan 64,000 kematian

Justeru, bantuan haiwan ini dikatakan telah membantu menyelamatkan nyawa ramai penduduk tempatan secara langsung di kawasan terlibat dengan mengurangkan risiko kecederaan dan kematian.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Tikus Dijulang Sebagai Hero & Dapat Pingat Emas Kerana Bantu Kesan Periuk Api & Selamatkan Nyawa Manusia appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments