(Video) Rakaman Mendebarkan Kren Kapal Kontena ‘Runtuh’ Ketika Pengendalinya Masih Berada Di Dalam

Sebuah kren setinggi 183 kaki dilaporkan telah tumbang ke dermaga selepas dipercayai dilanggar oleh satu kapal kontena terbesar di dunia semasa pengendalinya masih berada di dalam kabin tersebut, lapor Daily Mail.

Rakaman CCTV berjaya merakamkan insiden yang berlaku di Pelabuhan Valencia, Sepanyol, ketika kaki penyokong kren itu mula melengkung disusuli dengan impak yang tidak dijangka.

Seorang kakitangan bernama Roberto Manez Blanco, 48, merupakan individu yang mengoperasikan kren tersebut ketika ianya terjatuh.

Gambar: Daily Mail

Dia sempat membunyikan penggera untuk memberi amaran kepada rakan-rakannya mengenai insiden yang bakal terjadi semasa mereka sedang menyelamatkan dan menjauhkan diri sebelum kabin itu runtuh.

Pun begitu, Blanco dilaporkan tidak berjaya untuk menyelamatkan dirinya.

Susulan daripada itu, Blanco mengalami kecederaan patah tulang di bahagian rusuknya serta pendarahan selepas kren setinggi 183 kaki itu runtuh dan jatuh ke tanah.

Dalam klip yang dirakam tepat selepas jam 9 pagi pada 13 September, struktur hijau besar dapat dilihat mendominasi bahagian kiri skrin.

Gambar: Daily Mail

Impak daripada kapal kontena MSC Mia, kapal sepanjang 400 meter, tidak dapat dirakam pada kamera tetapi kren dapat dilihat mula condong berikutan pelanggaran itu.

Kaki logamnya kemudian mulai melengkung seterusnya membuatkan strukturnya jatuh ke tanah dengan pekerja yang panik berlari untuk menyelamatkan diri.

Blanco, yang dirawat di Hospital Universiti Politeknik La Fe di Valencia, merupakan satu-satunya mangsa yang cedera parah dalam kejadian itu.

Video kedua menunjukkan kejadian selepas kemalangan itu dengan sebahagian struktur kren kelihatan bertaburan di seberang dermaga manakala bahagian lain terdampar di dalam air.

Kapal yang berasal dari Panama itu dianggap sebagai salah satu kapal muatan kontena terbesar di dunia dengan kapasiti untung mengangkut lebih daripada 23,000 kontena berukuran 20 kaki.

Gambar: Daily Mail

Pihak polis tempatan telah bekerjasama dengan pasukan bomba untuk membersihkan sisa runtuhan tersebut.

Tidak dapat dijelaskan sama ada pihak berkuasa sedang menyiasat kemalangan itu atau pun tidak.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Rakaman Mendebarkan Kren Kapal Kontena ‘Runtuh’ Ketika Pengendalinya Masih Berada Di Dalam appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments