(Video) Mendebarkan, Budak 2 Tahun Terselamat ‘Secara Ajaib’ Setelah Kereta Api Bergerak Di Atasnya

Pemandu kereta api dan pembantunya terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak berusia 2 tahun berada di tengah-tengah landasan semasa kereta api yang dikemudi mereka sedang bergerak.

Pemandu kereta api, Deewan Singh serta pembantunya, Atul Anand segera menggunakan brek kecemasan bagi menghentikan kereta api tersebut.

Pun begitu, mereka hanya berjaya menghentikannya sejurus selepas mereka melepasi kanak-kanak itu.

Diselebungi dengan rasa takut, Deewan dan Atul terus keluar untuk memeriksa kanak-kanak berkenaan.

Sukar untuk mereka berdua percaya sekali gus berasa lega apabila mendapati kanak-kanak terbabit didapati sedang menangis dan takut namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Times of India, insiden tersebut dilaporkan berlaku di landasan kereta api Ballabgarh yang terletak di daerah Haryana Faridabad.

Difahamkan, stesen kereta api itu secara kebiasaannya tidak terlalu sibuk.

“Kanak-kanak berusia 2 tahun dan abangnya yang berusia 14 tahun itu sedang bermain-main di stesen. Mereka berkemungkinan bermain sehingga ke landasan ketika abangnya meninggalkannya di sana,” ujar SK Srivastava, Pengurus Komersial Bahagian Landasan Kereta Api Agra.

Dalam klip rakaman selama 19 saat yang bermula selepas kereta api itu berhenti, kanak-kanak itu dapat dilihat sedang menangis teresak-esak daripada bawah kereta api berkenaan sementara seorang remaja yang didakwa sebagai abangnya itu, sedang dipegang oleh pemandu kereta api tersebut. Video terbabit telah menjadi tular pada Rabu.

“Kanak-kanak terbabit telah terperangkap di bawah bahagian enjin kereta api,” ujar Srivastava.

Untuk mengeluarkannya pula bukan perkara mudah. Jadi, kedua-dua mereka perlu menenangkannya terlebih dahulu dan kemudian mengeluarkannya secara perlahan-lahan dan berhati-hati daripada tempat yang sempit itu.

Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan terus kepada ibunya yang risau akan keselamatan anaknya pada ketika itu. Kanak-kanak tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak atasan syarikat kereta api telah dimaklumkan berkenaan insiden itu. Pemandu kereta api itu akan diberi ganjaran oleh pengurus landasan kereta api,” kata Srivastava.

Sumber: Times of India

The post (Video) Mendebarkan, Budak 2 Tahun Terselamat ‘Secara Ajaib’ Setelah Kereta Api Bergerak Di Atasnya appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments