(Video) Hajiji Noor Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah Ke-16, Bung Moktar Antara 3 ADUN Angkat Sumpah Sebagai Timbalan KM

Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 bertempat di Istana Negeri Sabah hari ini.

Latar belakang

Beliau yang berasal dari Kampung Serusop, Tuaran itu merupakan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Ekonomi Masyarakat di University of New Hampshire, Amerika Syarikat.

Sepanjang tingkatan kerjayanya, Hajiji pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1976, sebelum menjadi Penolong Pegawai Pembangunan di Pejabat Daerah Tuaran pada 1977, kemudian berkhidmat sebagai pegawai penguasa kastam dari 1986 hingga 1990.

Sementara itu, beliau turut menjawat jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman dari 1990 hingga kini, selain sebagai setiausaha politik bekas timbalan perdana menteri, Tun Abdul Ghafar Baba pada 1993 serta Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah dari 2004 hingga 2008.

Dalam perjalanan politiknya pula, Hajiji menjadi ADUN Sulaman ketika bersama Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu – USNO (1990).

Pada 1993 berikutnya, beliau menyertai Petubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan menjadi ADUN Sulaman (Barisan Nasional – BN) dari 1994 hingga 2018.

Pada 1995 pula, beliau berkhidmat sebagai Ketua UMNO Bahagian Tuaran, selain pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah pada 2013 dan akhirnya meninggalkan UMNO pada 2018.

Sehubungan itu, pada 2019 lalu, Hajiji menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan terkini 2020, beliau bertugas sebagai Ketua Bersatu Sabah, Ketua Bersatu Bahagian Tuaran, ADUN Sulaman (bawah Perikatan Nasional) serta Pengerusi Perikatan Nasional Sabah.

Timbalan ketua menteri baharu

Selain itu, turut sama dalam acara angkat sumpah hari ini ialah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Dalam masa sama, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam juga turut dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah hari ini.

 

Sumber: BERNAMA

The post (Video) Hajiji Noor Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah Ke-16, Bung Moktar Antara 3 ADUN Angkat Sumpah Sebagai Timbalan KM appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments