(Video) Asap Penuhi Ruangan Wad, Detik Cemas Dipercayai Mesin Ventilator Terbakar Di Dalam Wad Covid-19

Sebuah alat bantuan pernafasan dalam wad Covid-19 hospital di Vadodara, India dilaporkan telah meletup, lapor Daily Mail.

Kamera CCTV di hospital berkenaan berjaya merakamkan detik-detik alat bantuan pernafasan itu berasap sebelum meletup.

Rakaman tersebut memaparkan insiden cemas di mana petugas kesihatan yang lengkap memakai sut hazmat bertungkus lumus memindahkan pesakit di wad Covid-19.

Seorang lelaki yang sedang baring di salah satu katil di wad tersebut dapat dilihat, dibantu oleh kakitangan hospital berkenaan keluar dari wad itu selepas mesin terbabit mula berasap.

Secara tergesa-gesa, kakitangan hospital berkenaan membawa lelaki itu keluar kerana mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan alat bantuan pernafasan tersebut.

Dalam beberapa saat, api mula kelihatan menyala dari alat bantuan pernafasan yang terletak di unit ICU hospital berkenaan.

Menurut Daily Mail, insiden terbabit berlaku sekitar jam 9.45 malam pada 8 September lalu.

Selepas pesakit lelaki itu berjaya dikeluarkan, seorang wanita tua yang berada dikatil bersebelahan dapat dilihat dibantu keluar selepas api mula merebak susulan daripada letupan itu.

Dua pesakit lain masih sedang terbaring di katil mereka ketika bilik itu mula dilitupi asap sebelum berjaya dikeluarkan oleh kakitangan hospital berkenaan dengan selamat.

Api tersebut dapat dipadamkan dan wad tersebut hampir sukar untuk dilihat kerana dilitupi asap, lapor Daily Mail.

India kini mencatatkan 4,482,171 kes positif Covid-19, dan daripada itu sebanyak 75,197 nyawa telah dilaporkan maut akibat daripada virus maut itu.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Asap Penuhi Ruangan Wad, Detik Cemas Dipercayai Mesin Ventilator Terbakar Di Dalam Wad Covid-19 appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments