Tikam Ibu 151 Kali Hingga Mati Tapi Dibebaskan Kerana Hidap Skizofrenia, Kisah Pilu Di Sebalik Video Tular Gadis Cantik

Nama Isabella Guzman kembali disebut-sebut warga maya setelah tular video gadis ini berjalan memasuki mahkamah dengan wajah yang cantik.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi warga maya. Ada yang mengecam dan ada yang memuji kecantikan gadis berkenaan.

“Jangan olah secara romantik (romanticize) pembunuh walaupun wajahnya cantik. Ini tidak betul,” tulis @dnlzglr.

“Pakai baju lokap pun lawa,” tulis pengguna lain.

Sementara itu, ada yang menekankan bahayanya penyakit mental yang tidak dirawat kepada pesakit dan orang sekeliling hingga boleh menjurus kepada pembunuhan.

Isabella sempat melemparkan senyuman kepada kamera di mahkamah.

Siapa Isabella Guzman?

Isabella didakwa menikam ibu kandungnya sebanyak 151 kali di rumah mereka di Colorado pada Ogos 2013 yang lalu.

Menurut Daily Mail, gadis ini mempunyai perbalahan dengan ibunya, Yun Mi Hoy, membuatkan wanita itu takut lalu melaporkan kepada pihak polis bagi mendapatkan perlindungan.

Sehari sebelum kejadian, Isabella didakwa meludah kepada ibunya dan menghantar emel ugutan berbunyi, “Kau akan bayar.”

Pada hari berlakunya tragedi, pihak polis datang ke rumah mereka susulan laporan diterima. Anggota polis sempat memberi amaran kepada remaja 18 tahun itu (pada ketika itu) agar menjaga tingkah laku, kerana dia boleh dihalau dari rumah berkenaan oleh ibunya.

Kata bapa tiri Isabella, Ryan Hoy, gadis itu hanya berkurung di dalam bilik pada hari kejadian.

Takut dengan anak sendiri, Yun Mi Hoy menghubungi bekas suaminya yang merupakan bapa kandung Isabella untuk menasihati gadis berkenaan.

Tiga jam sebelum tragedi, ayah kandung kepada Isabella, Robert Guzman datang ke rumah dan berbual dengan anaknya.

Dia sempat menasihati gadis itu agar menghormati orang tua, memikirkan dia mampu mengubah fikiran gadis berkenaan.

“Semasa berbual, saya ingatkan ada kemajuan. Tapi nampaknya ia tidak berkesan kerana beberapa jam kemudian, perkara ini (pembunuhan) terjadi,” kata Guzman.

Pada 10.11 malam, bapa tiri Isabella membuat panggilan kecemasan memberitahu anak tirinya memukul isterinya di dalam bilik air yang terkunci.

Katanya dalam afidavit, mangsa baru pulang dari kerja sekitar 9.30 malam dan naik ke tingkat atas untuk mandi.

Ketika itu, dia terdengar bunyi bising di tingkat atas dan isterinya memanggil namanya.

Ryan Hoy lari ke tingkat atas namun Isabella segera menutup dan mengunci pintu tandas sebelum dia melihat darah mula mengalir di bawah pintu.

Lelaki itu kemudiannya turun ke bawah untuk membuat panggilan kecemasan sebelum naik ke atas semula dan mendapati Isabella berdiri di pintu dengan memegang pisau.

Tanpa berkata apa-apa, gadis berkenaan kemudiannya keluar dari tandas dan hanya memandang terus ke hadapan ketika berjalan melintasinya.

Sebaik pihak polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui jasad Yun Mi Hoy yang dipenuhi kesan luka dan tikaman beserta kayu besbol berhampirannya. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.28 malam di tempat kejadian.

Hasil bedah siasat mendapati wanita itu mengalami 151 tikaman termasuk 31 tikaman di muka dan 48 di leher.

Isabella ditahan pada hari berikutnya.

Berpura-pura sebagai orang lain

Gambar: Google

Setelah melakukan pembunuhan, Isabella dikatakan lari dari rumah dan menuju ke tandas di sebuah kedai berhampiran.

Gadis itu kemudiannya membasuh rambut dan menukar pakaian sebelum memberitahu pekerja supaya tidak melaporkan kepada polis.

Dia mendakwa dirinya diperkosa dan tidak mahu pulang ke rumah, katanya kepada pekerja kedai seperti dilaporkan media.

Semasa polis berjaya mengesan gadis itu pada hari berikutnya, dia memberitahu mereka bahawa dia bukan suspek yang dicari.

Mengaku dirinya Samantha Gonzales dari Cincinnati, dia dilaporkan mendakwa gambar yang ditunjukkan pihak polis bukan dirinya.

“Ia kelihatan seperti saya, tapi bukan saya,” katanya ketika polis menunjukkan kad pengenalan miliknya kepadanya.

Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan remaja tersebut. Keesokan harinya, Hakim memerintahkan remaja itu ditahan tanpa ikat jamin.

Didakwa atas pembunuhan kelas satu

Isabella didakwa atas tuduhan membunuh kelas satu setelah membunuh ibunya.

Pun begitu, menurut Denver Post, detektif tidak mendapati petunjuk jelas mengenai motif pembunuhan.

Bapa tiri Isabella mendakwa tingkah laku remaja itu sangat mencabar. Susulan itu, dia dan isteri (ibu kandung Isabella) telah menghantar remaja itu kepada bapa kandungnya ketika Isabella berumur sekitar 7 tahun.

Walaubagaimanapun, ibu saudara Isabella, Melanie Guzman mendakwa gadis itu seperti remaja lain ketika menziarahi keluarga berkenaan.

Dia boleh marah, namun bertindak kejam merupakan sesuatu yang di luar karakternya, kata wanita itu.

Melanie dilaporkan percaya masih ada kelompongan dalam penyiasatan pihak polis.

“Sikapnya cukup manis. Dia sangat baik. Saya dapat melihatnya menjerit, berjalan pergi dan mengurung dirinya di dalam bilik dan menghidupkan iPodnya, tapi bukan bertindak kejam seperti itu,” kata Melanie.

Isabella kelihatan seperti remaja normal di sosial medianya. (Gambar: Google)

Dibebas setelah sah mempunyai masalah mental

Hasil perbicaraan, mahkamah telah membebaskan remaja berkenaan susulan pengesahan daripada Institut Kesihatan Mental Colorado, Pueblo mendapati suspek menghidap gangguan mental.

Berdasarkan testimoni, Dr Richard Pounds mendakwa Isabella disahkan menghidap paranoid skizofrenia.

“Ada tanda jelas halusinasi. Dia merenung ruangan kosong, berbual dengan orang yang tidak wujud dan mentertawakan dirinya sendiri,” kata Dr Richard.

Peguam Daerah, George Brauchler dilapor berkata, “Kerja peguam daerah ialah menegakkan keadilan. Jika dilihat kes ini, kamu akan melihat pembunuhan dahsyat dan kejam seorang anak terhadap ibunya.

“Saya tidak pernah melihat seseorang dengan banyak kesan tikaman seperti ini. Dia ditikam lebih 150 kali. Jadi anda ingin pelaku bertanggungjawab,” katanya.

“Tetapi sistem kita tidak hanya dipenuhi hukuman atau dipenjara, tetapi juga terikat dengan keadilan, dan anda harus melihat komponen ini, yang merupakan kesihatan mental,” tegas Brauchler.

Katanya lagi, hospital mental mempunyai peluang untuk memantau kesihatan mental Isabella dengan memberi ubatan yang boleh memberi kesan kepada psikologi remaja berkenaan.

“Kesimpulannya, dia mengalami masalah mental yang membuatkan dia tidak mampu membezakan betul dan salah, baik dari segi moral atau undang-undang.”

Susulan itu, gadis itu kemudiannya dilaporkan dihantar ke Institut Kesihatan Mental Colorado Pueblo.

“Dia akan dirawat sehingga tidak membahayakan diri sendiri atau komuniti. Mungkin satu tahun, dua tahun. Mungkin juga keseluruhan sisa hidupnya,” kata Brauchler.

Sumber: Daily Mail, CNN, Huffpost, Denver Post

The post Tikam Ibu 151 Kali Hingga Mati Tapi Dibebaskan Kerana Hidap Skizofrenia, Kisah Pilu Di Sebalik Video Tular Gadis Cantik appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments