Remaja OKU Hiperaktif Bakar Rumah Sendiri, Dakwa Disuruh Arwah Ibu

KUALA TERENGGANU, 8 Sept (Bernama)  — Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) hiperaktif bertindak membakar rumah keluarganya, di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, malam tadi.

Remaja berusia 14 tahun itu mendakwa melakukan perbuatan tersebut selepas terdengar ‘arahan’ arwah ibunya dan dia turut merakam video kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah itu, menggunakan telefon bimbitnya.

Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, berkata remaja tersebut tinggal bersama nenek dan bapanya di rumah berkenaan namun ketika kejadian hanya dia seorang berada di rumah.

“Ketika kejadian cucu saudara saya (remaja berkenaan) sempat merakam video kebakaran itu sambil menangis. Saya panggil dia dan suruh duduk dulu…lepas disoal kenapa bakar rumah, dia jawab masa itu telah ternampak arwah ibunya dan disuruh bakar rumah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, remaja terbabit turut mengakui menyalakan api dengan menggunakan mancis, kertas dan lilin yang dibeli olehnya ketika tinggal bersendirian.

Juriah berkata cucu saudaranya itu disahkan hiperaktif sejak kecil namun keadaan emosi dan mentalnya semakin terganggu selepas kematian ibunya dua tahun lalu akibat penyakit barah paru-paru dan dia pernah membakar rumah ketika berusia 10 tahun, namun api sempat dipadamkan.

Remaja terbabit juga dikatakan masih dalam rawatan pemulihan dan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan pihak hospital.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu Rozizah Ibni Hajar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.59 malam dan seramai 19 anggota bersama dua jentera serta satu jentera tangki dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika pihak bomba sampai, kebakaran telah seratus peratus dan dikenal pasti terdapat seorang mangsa iaitu remaja berusia 14 tahun berada di rumah ketka kejadian, bagaimanapun dia telah keluar ke tempat selamat sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.

Menurut Rozizah pihak bomba mengambil masa kira-kira 25 minit bagi mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya.

Sumber: BERNAMA

The post Remaja OKU Hiperaktif Bakar Rumah Sendiri, Dakwa Disuruh Arwah Ibu appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments