Polis Ambil Keterangan Suspek Hempas Kucing Ke Lantai

suspek hempas kucing

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — Seorang lelaki yang bertindak menghempas seekor kucing ke lantai selepas haiwan berkenaan memanjat cermin depan keretanya, hadir memberi keterangan di Balai Polis Setapak di sini, pagi tadi untuk siasatan lanjut kes itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata lelaki berumur 36 tahun itu didakwa melakukan tindakan tersebut di lot parkir deretan kedai di Jalan Rejang, Setapak, semalam.

Beliau berkata tindakan lelaki berkenaan mengundang kecaman orang awam susulan penyebaran satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 0.55 saat dalam laman media sosial.

“Suspek didakwa melakukan secara sedar dan susulan tindakan tersebut boleh menyebabkan kucing berkenaan cedera selain mengalami pendarahan dalaman akibat hentakan kuat ke lantai,” katanya kepada Bernama.

Menurut Rajab Ahad, suspek hadir memberi keterangan pada 11.30 pagi, bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kini dalam proses memberikan keterangan lanjut kepada pegawai penyiasat kes.

“Perbuatan menzalimi haiwan apabila disabitkan oleh mahkamah akan dikenakan denda RM50,000 atau penjara untuk tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian sementara kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

Sumber: BERNAMA

The post Polis Ambil Keterangan Suspek Hempas Kucing Ke Lantai appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments