Pemandu E-Hailing Dipenjara Tiga Tahun Miliki 17 Video Berkaitan Pengganas Daesh

Kuala Lumpur: “Saya sayangkan Malaysia, saya tidak mahu Malaysia terlibat dengan perang,” kata seorang pemandu e-hailing dalam rayuannya sebelum dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan memiliki 17 video berkaitan kumpulan pengganas Daesh, awal tahun ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ayub Musa, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya pada sebutan kali pertama kes selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapnya pada 6 Jan lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan militan tersebut di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah rumah di Persiaran Taman Meru 14, Taman Meru 2C, Jelapang, Kinta, Perak, pada 7.20 pagi, 6 Jan lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pencegahan mengambil kira perbuatan jenayah yang dilakukan tertuduh boleh menggugat keamanan negara.

“Antara kandungan 17 video tersebut adalah paparan suasana militan Daesh semasa peperangan yang turut mengajak umat Islam menyertai aktiviti itu.

“Selain itu, ada antara video-video tersebut yang mengajak rakyat Malaysia untuk memerangi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia. Justeru, saya memohon satu hukuman berat dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah menyesal dan insaf atas perbuatannya.

“Saya sudah kehilangan segalanya, saya benar-benar menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak. Saya hanya ingin fokus menjaga kedua ibu bapa saya yang sudah tua,” katanya.

— BERNAMA

The post Pemandu E-Hailing Dipenjara Tiga Tahun Miliki 17 Video Berkaitan Pengganas Daesh appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments