Kanak-Kanak Pandu Kereta: Bapa Disaman

REMBAU, 7 Sept (Bernama) — Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang memandu kereta seperti tular di media sosial hari ini telah dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata saman berkenaan dikeluarkan berikutan tindakan membenarkan kenderaan lelaki berkenaan dipandu oleh pemandu bawah umur.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta dan kanak-kanak berkenaan. Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu memandu kereta tersebut tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berusia 47 tahun di Kampung Bongek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata satu laporan polis juga dibuat dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

“Polis mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap isu ini dan berharap agar masyarakat sentiasa menyalurkan maklumat kepada kami,” katanya.

Hari ini tular video berdurasi 43 saat yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta Proton Saga di media sosial Facebook.

— BERNAMA

The post Kanak-Kanak Pandu Kereta: Bapa Disaman appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments