Dua Wanita Antara Lima Individu Ditahan Terlibat Sindiket Pemerasan Video Lucah

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Dua wanita dipercayai dalang sindiket pemerasan melalui panggilan video berunsur lucah, antara lima individu ditahan bagi membantu siasatan polis Julai lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata kesemua suspek warga tempatan berusia 22 hingga 30 tahun itu ditahan di Taman Indah Perdana pada 31 Julai lepas, selepas menerima laporan daripada seorang lelaki mendakwa diugut oleh individu tidak dikenali untuk menyebarkan video separuh bogel miliknya kepada kenalan.

Oleh kerana takut dengan ugutan tersebut, mangsa telah memindahkan sebanyak RM7,000 ke dalam akaun milik salah seorang suspek. Suspek yang tidak berpuas hati meminta tambahan sebanyak RM3,000 jika mahu video itu dipadam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, semakan lanjut mendapati terdapat 12 laporan kesemuanya melibatkan lelaki warga tempatan yang mendakwa menjadi mangsa pemerasan sindiket berkenaan.

“Modus operasi sindiket yang bergiat aktif sejak lebih setahun yang lalu ialah dengan mewujudkan profil palsu di aplikasi media sosial manakala wanita berkenaan dijadikan umpan untuk menarik perhatian mangsa membuat panggilan video.

“Suspek juga akan memaksa mangsa berbogel dalam panggilan video dan membuat ugutan melalui (aplikasi) WhatsApp serta meminta wang tunai sebanyak RM10,000,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiga suspek telah diambil tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis, selain membekukan empat akaun milik suspek yang mempunyai jumlah simpanan hampir RM500,000 serta pengesanan aset-aset lain.

Saiful Azly berkata kesemua lima suspek terbabit disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Dalam perkembangan lain, Saiful Azly berkata empat lelaki berusia 29 hingga 61 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang sejak Januari hingga Julai lepas kerana disyaki terlibat dengan jenayah pedofilia.

Beliau berkata tangkapan kesemua suspek yang dipercayai mengakses laman web pornografi kanak-kanak tersebut adalah berdasarkan maklumat dan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi lain di dalam dan luar negara.

Beliau berkata semakan mendapati suspek terdiri daripada ahli perniagaan, pekerja peronda lebuh raya, juruteknik dan penganggur dan ketika serbuan menemukan peralatan seperti komputer riba, komputer, monitor LCD, pemacu keras, modem, papan kekunci dan tetikus dipercayai digunakan untuk melayari laman web lucah.

Satu kes telah dituduh di mahkamah pada 7 Ogos di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 manakala tiga lagi kes masih dalam siasatan dan menunggu laporan forensik serta SKMM sebelum dirujuk ke pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut, katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Dua Wanita Antara Lima Individu Ditahan Terlibat Sindiket Pemerasan Video Lucah appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments