Ahli Perniagaan, Pengawal Peribadi Cedera Ditembak, Kereta Hilang Kawalan Punca Rempuh Pelajar

tembak depan sekolah

SHAH ALAM, 25 Sept (Bernama) — Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu turut menyebabkan tiga pelajar sekolah menengah cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

Katanya terdahulu, dua suspek lelaki terbabit mengekori kereta dinaiki mangsa sebelum melepaskan kira-kira sembilan das tembakan ke arah kenderaan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian tembakan itu berlaku kira-kira 100 meter dari sebuah sekolah menengah. Pengawal peribadi terbabit yang memandu BMW berkenaan telah hilang kawalan akibat ditembak menyebabkan kereta tersebut merempuh beberapa kereta lain.

“Kereta BMW itu juga merempuh tiga pelajar sekolah menengah terbabit yang kebetulan sedang menunggu di tepi jalan untuk pulang setelah tamat sesi persekolahan mereka. Kenderaan tersebut kemudiannya terhenti berhampiran pagar sekolah berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketiga-tiga pelajar tersebut bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Hospital Banting.

Menurutnya ahli perniagaan itu dan pengawal peribadinya turut di hantar ke hospital sama untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, Azizan berkata sebelum insiden tembakan itu, ahli perniagaan dan pengawal peribadinya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di Sungai Manggis, Banting.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati motif kejadian dipercayai pergaduhan di antara dua kumpulan dan tidak menolak kemungkinan turut berpunca daripada masalah perniagaan.

Azizan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tembakan itu tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan satu klip video berdurasi 29 saat memaparkan kereta BMW yang dikatakan terlibat dalam kejadian tembakan tersebut.

Sumber: BERNAMA

The post Ahli Perniagaan, Pengawal Peribadi Cedera Ditembak, Kereta Hilang Kawalan Punca Rempuh Pelajar appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments