(Video) Wanita Sambut Cahaya Mata Dalam Keadaan Hospital Hampir Ranap Akibat Letupan Di Beirut

Ini adalah detik-detik di mana seorang wanita selamat melahirkan anaknya ketika letupan besar yang berlaku di Beirut pada 4 Ogos lalu menggegarkan bandar pelabuhan tersebut.

Video tersebut berjaya dirakam oleh suami kepada wanita berkenaan yang bernama Edmound. Ketika kejadian, isterinya itu sedang membuat persiapan terakhir untuk melahirkan anaknya sebelum letupan besar tersebut menggegar seluruh bandar Beirut.

Video itu memaparkan tingkap dewan bersalin pecah berderai dan sturuktur hospital hampir ranap sejurus selepas isterinya itu ditolak masuk ke bilik tersebut. Edmound terus merakamkan detik itu sambil menggigil susulan daripada impak letupan tersebut.

“Anak saya George dilahirkan dalam suasana yang amat teruk dan saya seakan tak percaya kami semua terselamat,” kata Edmound kepada Reuters.

Doktor dan jururawat terpaksa melakukan kerja mereka dalam kegelapan selepas daripada letupan itu. Hasil daripada itu, bayi tersebut dilaporkan selamat dilahirkan. Pasangan itu kemudiannya menamakan anak mereka itu dengan nama George.

Edmound sempat mengambil gambar keseluruhan proses kelahiran itu dan kemudiannya memuat naik serta memuji kakitangan hospital tersebut menerusi akaun media sosialnya.

“Terima kasih kerana telah berjaya menyambut saya ke dunia ini dengan selamat. Saya harap saya boleh membalas jasa anda kembali suatu hari nanti,” katanya bagi pihak George.

Letupan yang berlaku pada 4 Ogos itu dilaporkan terjadi disebabkan oleh kebakaran di gudang bunga api yang kemudiannya telah menyalakan timbunan ammonium nitrat yang disimpan di pelabuhan itu.

Hasil daripada letupan itu, seramai kira-kira 135 orang telah terkorban manakala ribuan lagi dilaporkan tercedera.

Sumber: CBS NEWS

The post (Video) Wanita Sambut Cahaya Mata Dalam Keadaan Hospital Hampir Ranap Akibat Letupan Di Beirut appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments