(Video) Wanita 85 Tahun ‘Tumbang’ Akibat Disiku Di Muka, Dipercayai Sedang Pertahankan Diri Daripada Dirompak

Seorang pencuri secara ganas dilaporkan telah memukul seorang wanita warga emas menggunakan siku sehingga tercedera gara-gara wanita itu menghalangnya daripada mencuri beg tangannya di sebuah lobi apartment di Valencia, Sepanyol.

Detik kejadian itu berjaya dirakam kamera CCTV yang terdapat di kawasan berkenaan.

Video CCTV tersebut memaparkan seorang wanita berusia 85 tahun sedang memasuki bangunan apartment rumahnya yang terletak di Valencia sambil diikuti oleh seorang lelaki Romania sekitar jam 2 petang pada Selasa lalu, lapor Daily Mail.

Kemudiannya, lelaki tersebut telah menggunakan kekerasan untuk mencuri dipercayai wang yang terdapat dalam beg mangsa.

Namun daripada memilih untuk melepaskan beg itu sahaja, wanita tersebut telah bertindak untuk mempertahankan begnya. Lelaki tersebut kemudiannya telah menolak wanita berkenaan ke arah dinding secara kasar sebelum menyikunya di muka.

Wanita itu telah terjatuh ke lantai sementara lelaki itu keluar dengan kadar segera bersama dengan beg wanita berkenaan.

Tak lama kemudian, wanita itu telah ditemui oleh penduduk setempat di lobi dengan kepala yang berdarah. Sejurus selepas itu, mangsa terus dikejarkan ke hospital berdekatan dengan ambulans.

Dompetnya yang dicuri itu mengandungi wang tunai berjumlah € 40 (RM 197.46), kad kredit dan kad pengenalan wanita terbabit, kata polis.

Susulan daripada kejadian itu, pegawai polis telah dikerahkan untuk melakukan rondaan di sekitar blok pangsapuri wanita berkenaan. Dalam sekitar jam 11 malam, sebuah kereta peronda polis telah mengesan seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan keterangan wanita itu di San Agustin.

Lelaki itu kemudiannya segera ditahan kerana disyaki melakukan rompakan.

Lelaki yang berusia 34 tahun berasal dari Romania itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Mangsa terbarunya ini sedang dirawat di hospital namun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius, lapor El Espanol.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Wanita 85 Tahun ‘Tumbang’ Akibat Disiku Di Muka, Dipercayai Sedang Pertahankan Diri Daripada Dirompak appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments