(Video) Stesen Kereta Api Di Jeddah Dilapor Terbakar Semalam

JEDDAH, ARAB SAUDI – Selepas tragedi letupan di Beirut, kebakaran di Najaf, Iraq serta di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kini Arab Saudi pula seakan menerima ‘nasib’ sama.

Stesen Kereta Api Laju Haramain yang terletak di wilayah Sulaymaniyah, Jeddah dilaporkan terbakar semalam.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam di Mekah, Kolonel Muhammad Al-Qarni berkata, pasukannya telah dikerahkan segera ke tempat kejadian selepas Pusat Operasi Seragam menerima laporan insiden berkenaan pada 7.27 malam.

“Api yang marak itu datang daripada kabin sementara yang digunakan sebagai pejabat pentadbiran yang berkeluasan kira-kira 20 x 60 meter.

“Pasukan bomba telah bekerja keras memadam kebakaran tersebut sebelum ia sempat merebak ke kawasan berhampiran dan hingga kini mereka masih berusaha untuk memadamkannya,” katanya, memetik laporan Saudi Gazzette.

Gambar: Saudi Gazzette

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Difahamkan, kerja-kerja renovasi dan baik pulih mula dijalankan awal minggu ini selepas stesen itu terbakar buat kali pertama pada 29 September tahun lalu.

Malah, stesen tersebut juga tidak beroperasi selepas kebakaran itu sehinggalah perkhidmatan kereta api dijalankan semula pada Disember, iaitu kira-kira dua bulan selepas tragedi berkenaan.

Namun pada Mac lalu, perkhidmatan tersebut sekali lagi terpaksa dihentikan buat sementara waktu ekoran larangan rentas negeri telah dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa telah memulakan persiapan untuk memulakan semula perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Mekah dan Madinah, melalui Jeddah dan Bandar Ekonomi Raja Abdullah Rabigh pada bulan hadapan.

Sumber: Saudi Gazzette, Twitter

The post (Video) Stesen Kereta Api Di Jeddah Dilapor Terbakar Semalam appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments