(Video) Kereta Api Dilaporkan Tergelincir Di Scotland, Pemandu Dipercayai Maut

kereta api tergelincir

Aberdeenshire, Scotland, 12 Ogos – Sebuah kereta api dilaporkan tergelincir daripada landasan di laluan Stonehaven di sini hari ini.

Menurut Mirror.uk, pemandu kereta api tersebut dipercayai maut dengan seorang lagi mangsa dikhuatiri turut terkorban.

Kereta api yang mempunyai empat gerabak dan satu lokomotif itu dilaporkan berada dalam perjalanan dari Aberdeen ke Stonehaven sebelum tergelincir dipercayai akibat gelongsoran tanah.

Menyifatkan kejadian itu sebagai insiden yang amat serius, Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon berkata beliau telah menerima laporan awal mengenai perkara itu.

“Gelinciran kereta api ini merupakan insiden yang amat serius. Saya telah mendapat laporan awal daripada Network Rail dan perkhidmatan kecemasan mengenai perkembangan semasa. Takziah kepada mangsa terlibat,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, British Transport Police (BTP) berkata, para pegawai mereka menerima panggilan kecemasan pada 9.43 pagi waktu tempatan (sekitar 4.43 pm waktu Malaysia) dan berada di sana bersama paramedik serta pasukan bomba.

Sekurang-kurangnya enam ambulan, satu helikopter dan beberapa kereta polis dilaporkan tiba di lokasi kejadian.

Menurut laporan media antarabangsa, lokasi tersebut telah terkesan akibat ribut serta hujan lebat yang mengakibatkan gelinciran tanah.

Terdahulu, satu video tanah runtuh dipercayai berhampiran lokasi kejadian turut dikongsikan Network Rail Scotland.

Sumber: Mirror.uk, CNN

The post (Video) Kereta Api Dilaporkan Tergelincir Di Scotland, Pemandu Dipercayai Maut appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments