(Video) Bertukar Jadi ‘Blur’ Bila Pintu Dikunci, Tandas Awam Di Jepun Diperkenalkan Dengan Dinding Lutsinar

Seorang pereka Jepun telah melancarkan tandas awam lutsinar yang diperbuat daripada kaca yang akan bertukar menjadi kabur apabila ada orang menggunakannya.

Idea yang dikemukakan oleh seorang arkitek terkenal bernama Shigeru Ban ini bertujuan untuk membolehkan pengguna memeriksa kebersihan dan pada masa yang sama boleh mengetahui sama ada tandas itu kosong atau pun sedang digunakan, lapor Daily Mail.

Tandas awam yang unik ini terletak di Taman Mini Yoyogi Fukamachi Tokyo dan Taman Komuniti Haru-no-Ogawa.

Tandas yang terletak di Taman Komuniti Haru-no-Ogawa ini direka dengan kaca yang berwarna hijau dan biru bagi memadankan dengan daun di persekitarannya.

Sementara itu, tandas di Taman Mini Yoyogi Fukamachi pula direka dengan warna oren, merah jambu serta ungu.

Tandas tersebut dikategorikan sebagai unik kerana reka bentuknya yang menggunakan teknologi smartglass terbaru. Ianya akan bertukar menjadi kabur selepas pintu tandas itu dikunci.

“Terdapat dua perkara yang sering bermain di fikiran kita ketika hendak memasuki tandas awam, khususnya yang terletak di taman,” jelas Ban di laman web projek tersebut.

“Yang pertama adalah kebersihan, dan yang kedua adalah apakah ada orang di dalamnya,” ujar arkitek itu.

“Dengan menggunakan teknologi terkini, kaca di bahagian luar itu akan menjadi kabur apabila pintu dikunci.”

“Ianya membolehkan pengguna untuk memeriksa kebersihan terlebih dahulu sebelum memasukinya serta memastikan bahawa tiada orang yang sedang berada di dalam. Pada waktu malam pula, tandas ini akan berlampu menerangi taman seperti tanglung.”

Tandas baru ini telah menggantikan dua tandas awam lama yang terletak berhampiran Taman Yoyogi di Shibuya.

Tandas ini dibahagikan dengan tiga kubikel yang terdiri daripada tiga kategori. Satu untuk pengguna lelaki, satu untuk pengguna wanita manakala satu lagi untuk orang kurang upaya.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Bertukar Jadi ‘Blur’ Bila Pintu Dikunci, Tandas Awam Di Jepun Diperkenalkan Dengan Dinding Lutsinar appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments