'Terima kasih abang polis!' - Netizen puas hati pemandu salahguna lorong kecemasan disaman


Rabu (19/8/2020) jam 8.24 pagi, jalan utama penuh dengan kenderaan yang masing-masing menuju ke tempat kerja. Bagi mengelakkan jalan menjadi lebih sesak, ramai pemandu memilih untuk memandu dengan tenang dan sabar.

Tetapi tidak bagi pemandu kereta jenis  Mazda CX3 ini yang begitu gelojoh sekali memotong kenderaan lain bagaikan tiada hari esok. 

Video yang dirakam dashcam dipercayai milik individu bernama Zakirin menunjukkan, kereta Mazda terbabit menyalahgunakan lorong kecemasan untuk memotong kenderaan lain. 

Namun sebaik saja ternampak dua anggota polis trafik melakukan sekatan jalan di hadapan, Mazda itu kembali beratur sebelum bertindak masuk ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan ia hampir disodok kenderaan belakang. 

Pemandu Mazda itu menyangka, 'kepandaiannya' itu boleh mengaburi anggota trafik di hadapan, tetapi percaturannya itu ternyata silap dan mendatangkan beribu penyesalan yang tidak terkata. 

Salah seorang anggota trafik berdiri di tengah jalan dan menunggu kereta Mazda itu sampai di hadapannya lalu diarahkan berhenti di tepi ekoran tindakannya memandu di lorong kecemasan yang jelas sekali merupakan satu kesalahan besar. 

Video tersebut viral di media sosial dan rata-rata netizen berpuas hati pemandu terbabit dikenakan tindakan. 

Semakan 'pakar forensik facebook' juga mendapati, kereta itu mempunyai enam saman tertunggak yang berjumlah RM1,150. 


Sebagai pengguna jalan raya, kita seharusnya patuh pada undang-undang dan peraturan jalan raya. Bukannya memandu mengikut suka atau emosi yang boleh mendatangkan bahaya pada diri dan orang lain. 

Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS




r

Post a Comment

0 Comments