Sepana ’Melekat’ Ke Dalam Kepala Lelaki Selepas Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan 8 Tingkat

Seorang lelaki hampir menemui ajal selepas sebuah peralatan bertukang jatuh terpacak menimpa kepalanya daripada sebuah blok menara di China.

Alatan tajam yang berukuran enam inci itu telah terjatuh secara tidak sengaja oleh seorang juruteknik yang sedang memasang penghawa dingin di luar sebuah flat lapan tingkat yang terletak di daerah Liaoning, lapor media tempatan.

Mangsa yang berumur 50 tahun itu dikatakan sedang dalam keadaan stabil selepas doktor berjaya mengeluarkan sepana yang tertusuk di kepalanya itu dalam operasi pembedahan yang mengambil masa selama tiga jam.

Insiden mengerikan itu berlaku pada petang Khamis di ibu kota daerah Liaoning, Shenyang, menurut media China.

Ketika kejadian, mangsa yang sedang berjalan kaki bersama rakannya di kawasan itu telah meronta kesakitan selepas satu sepana secara tiba-tiba jatuh dari atas dan menusuk kepalanya.

Rakan mangsa menyatakan bahawa selepas daripada sepana itu menimpa kepala mangsa, mereka berdua terus melihat ke arah atas dan mendapati bahawa terdapat seorang juru teknik yang sedang memasang penghawa dingin di luar kediaman lapan tingkat itu.

“Juruteknik itu juga turut terkejut susulan daripada insiden itu. Dia juga turut memandang ke bawah ketika duduk di atas platform tersebut,” ujar rakan mangsa kepada Liaoshen Evening News.

Sebuah gambar mengerikan yang dikeluarkan oleh media China memaparkan seorang lelaki yang tercedera dengan sebuah sepana yang tertusuk di kepalanya.

Sejurus selepas itu, mangsa terus dikejarkan ke hospital bagi mengeluarkan sepana tersebut dari kepalanya.

“Ketika kami mula-mula menerima pesakit ini, dia masih berada dalam keadaan sedar. Dia mampu untuk menggerakkan tangan serta kakinya. Dia hanya mengadu sakit kepala sahaja,” kata Dr Bao Min.

“Kami juga mendapati bahawa terdapat banyak tulang yang patah. Ianya menjadikan situasi tersebut agak berbahaya,” tambah Dr Bao.

Selepas tiga jam pembedahan dilakukan, doktor berjaya mengeluarkan sepana itu dari kepala lelaki tersebut.

Mangsa dikatakan sedang berada dalam keadaan stabil sejurus selepas pembedahan itu dilakukan. Pun begitu, dia akan ditahan di wad untuk rawatan lanjut, menurut doktor.

Sumber: Daily Mail

The post Sepana ’Melekat’ Ke Dalam Kepala Lelaki Selepas Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan 8 Tingkat appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments