Negeri-Negeri Dinasihat Rujuk MKN Dalam Buat Keputusan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Kerajaan-kerajaan negeri dinasihatkan untuk merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membuat sebarang keputusan semasa berkaitan soal keselamatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan terdapat beberapa negeri bertindak membuat keputusan sendiri yang di luar arahan kerajaan persekutuan.

“Ada negeri yang buat keputusan sendiri untuk membatalkan dan tidak membenarkan beberapa aktiviti perniagaan dan aktiviti-aktiviti sosial.

“Ada yang tidak benarkan kedai gunting rambut beroperasi, taman permainan kanak-kanak ditutup. Ada negeri bercadang menutup beberapa kampung tertentu, mungkin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Jadi saya memohon kepada negeri-negeri berkaitan, sila merujuk dahulu kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dari segi sama ada kita benarkan ataupun tidak,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Jelas Ismail, beliau mengambil contoh kerajaan Sarawak yang pernah memohon kebenaran Persekutuan untuk melaksanakan sekatan rentas zon sebelum ini.

Tambahnya, apabila kerajaan negeri memperkenalkan sesuatu undang-undang peraturan dan tidak diluluskan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM), maka pelaksanaan undang-undang tersebut tidak boleh dikuatkuasakan.

“Pihak polis sebagai contoh untuk mengawal dan mengambil tindakan, hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan persekutuan. Pihak polis akan merujuk kepada punca kuasa. Punca kuasa di bawah KKM di bawah Akta 342 adalah kerajaan persekutuan.

“Jadi kalau mereka laksanakan (dan) tindakan diambil, (maka) tindakan mereka sebenarnya boleh dicabar di mahkamah,” tegasnya lagi.

Sumber: RTM

The post Negeri-Negeri Dinasihat Rujuk MKN Dalam Buat Keputusan – Ismail Sabri appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments