MBSA Tidak Berkompromi Dengan Anggota Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) —  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggotanya jika berlaku salah guna kuasa atau isu berkaitan integriti.

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan MBSA sekiranya didapati melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Kita tegaskan tidak pernah berkompromi dan mana-mana premis perniagaan yang menyalahi undang-undang, kita akan ambil tindakan terhadapnya.

“Jika dakwaan yang menyatakan (ada) anggota pilih kasih (dalam menguatkuasakan undang-undang), tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut benar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Larangan Meminum Arak dan Menghisap Rokok di Taman Awam peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Mohd Rashidi mengulas mengenai dua video berdurasi 13.28 minit dan 8.29 minit yang tular di laman Facebook atas akaun ‘Hot Burger Malaysia’ yang mendakwa anggota penguat kuasa MBSA cawangan Sungai Buloh bersikap pilih kasih ketika melaksanakan penguatkuasaan.

Menerusi video tersebut, seorang daripada dua pemilik gerai burger berasa tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyita gerai mereka dan mendakwa MBSA sebaliknya tidak mengambil tindakan terhadap premis mesin judi serta penjualan rokok seludup di kawasan berkenaan.

Mohd Rashidi menjelaskan tindakan MBSA menyita dua gerai burger itu berikutan pemiliknya tidak mengendahkan teguran mengenai peralatan perniagaan mereka yang tidak disimpan dengan teratur hingga mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Sitaan ke atas warung burger yang beroperasi sekitar kawasan komersial itu dibuat berikutan peniaga berkenaan meninggalkan peralatan perniagaan setelah selesai melakukan aktiviti perniagaan menyebabkan berlakunya masalah lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Dalam tempoh dua bulan, pihak MBSA telah dua kali melakukan tindakan sitaan terhadap peniaga tersebut namun mereka masih lagi melakukan kesalahan sama,” katanya.

Menurutnya, peniaga itu dikesan berniaga di luar waktu operasi yang ditetapkan iaitu melebihi pukul 12 tengah malam dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata MBSA sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujudnya premis perjudian di kawasan berkenaan.

Beliau juga menasihatkan orang supaya menyalurkan aduan sekiranya terdapat maklumat berhubung salah laku kakitangan MBSA melalui e-mel aduanintegriti@mbsa.gov.my atau talian 03-55105133.

Media hari ini melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tindakan segera diambil bagi membanteras kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan tersebut ekoran tularnya video berkenaan.

— BERNAMA

The post MBSA Tidak Berkompromi Dengan Anggota Salah Guna Kuasa appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments