Gaduh Di Dataran Merdeka, 8 Lelaki Didenda Maksimum RM1,000

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki, yang video rakaman pergaduhan mereka menjadi tular di media sosial baru-baru ini dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di Dataran Merdeka, Ahad lepas.

Mereka terdiri daripada Mohamad Syahrul Azrai Mas Ringo,18; Nasrin Superatekjo, 26; Mohd Sharuddin Muhamad Sali, 26; Mohammad Azrul Effendy Azmi,19; Muhammad Taufiq Zakaria, 22; Muhammad Razif Razali, 21; Muhammad Dashrin Ashraff Ishak, 21, dan Muhammad Azizul Izwan Mohd Saian, 22.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama ialah tiga remaja lelaki berusia 17 tahun dan mahkamah menetapkan 28 Sept untuk laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam di Dataran Merdeka, di sini, pada pukul 1.29 pagi, 23 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 160 dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh sebagai pengajaran terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Dataran Merdeka sepatutnya menjadi tempat untuk menunjukkan semangat patriotik, tetapi kejadian (bergaduh) yang dilakukan oleh kesemua tertuduh telah mencemarkan ketenteraman kawasan itu apatah lagi ketika ini berlangsung sambutan bulan kebangsaan,” kata Wan Ahmad Hakimi.

Peguam Mohammad Zaidi Othman yang mewakili Mohamad Syahrul Nasrin, Mohd Sharuddin, Mohd Azrul, Muhammad Dashrin, Muhammad Azizul dan tiga remaja bawah umur memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan semua anak guamnya telah insaf selain pergaduhan itu tidak dirancang.

“Mereka juga memohon maaf dengan apa yang telah terjadi termasuk telah meminta maaf antara satu sama lain dan kejadian berlaku adalah akibat salah faham,” katanya.

Tiga lagi tertuduh iaitu Mohammad Azrul, Muhammad Taufiq dan Muhammad Razif tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, video berdurasi 15 saat tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan remaja lelaki, dengan sebahagian mereka bersenjatakan topi keledar, bergaduh di Dataran Merdeka.

Polis yang menerima laporan kejadian itu daripada orang ramai mendapati punca pergaduhan adalah akibat perselisihan faham antara kumpulan anak muda bermotosikal dan ia tidak membabitkan elemen kongsi gelap atau gengsterisme.

Sumber: Bernama

The post Gaduh Di Dataran Merdeka, 8 Lelaki Didenda Maksimum RM1,000 appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments