9 Tahun Di Awan Biru, Kisah Pilot Jadi Penghantar Makanan Ketika COVID-19 Dan Dua Lagi Insan Beri ‘Senyuman’ Pada Negara

Penularan wabak COVID-19 yang diselang-seli dengan Perintah Kawalan Pergerakan beberapa bulan ini telah memberikan banyak kesan langsung kepada kesihatan awam, alam pekerjaan, perniagaan, ekonomi malah menguji silaturahim persaudaraan yang tidak mengenal ‘warna’ dan agama.

Sepanjang tempoh sukar ini, dapat kita lihat sebahagian daripada kita meringankan tangan kanan dan dibasahi peluh-jerih demi memberi kelangsungan hidup yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan serta mereka yang terkena dampak besar COVID-19.

Tiga insan ini antara yang tidak putus-asa walau diri sendiri ‘dihentam’ kuat pandemik.  Kuan Chee Heng atau lebih mesra disapa Uncle Kentang berkongsi perjalanannya dalam memberi ‘senyuman’ kepada negara.

“Saya dah terdetik masa kecil lagi kerana saya orang susah. Saya pernah dibantu oleh guru-guru dan orang kampung.

“Memang menjadi hasrat saya, apabila saya mampu satu hari nanti, saya akan berikan bantuan kepada orang lain.

Ditanya bagaimana melalui pandemik yang sukar ini negara masih dalam keadaan harmoni, Uncle Kentang memberitahu, “Seluruh rakyat Malaysia bersatu-padu dalam memutuskan rangkaian pandemik. Disini kita tengok tercetusnya satu kemulian rakyat Malaysia dalam memberi bantuan kepada mereka yang lapar, susah dan hilang kerja.

“Kita bersama-sama membantu orang tak kira bangsa, tak kira agama, tak kira kaum, tak kira politik. Itulah masa yang paling best untuk Malaysia.”

Selain Uncle Kentang, bekas juruterbang ini turut berkongsi tempias impak COVID-19 yang berlaku kepada dirinya sehingga diberikan cuti tanpa gaji dan ‘berhijrah’ karier daripada awan biru kepada laluan daratan.

“Sebelum saya jadi penghantar makanan, saya merupakan seorang juruterbang selama 9 tahun. Semenjak bulan 4 apabila COVID-19 datang menyerang Malaysia, saya telah diletakkan dalam keadaan cuti tanpa gaji dan dari situ saya menjadi penghantar makanan.”

Walaupun secara drastik hilang kerjaya serta pendapatan bulanan tetapnya, Khairul Anwar atau Captain K ini masih kekal produktif demi kelangsungan hidup bersama keluarga.

“Sudah pasti saya merasa risau apabila pendapatan saya hilang selama berbulan-bulan.  Walau bagaimanapun saya berfikiran positif dan tetap produktif demi kelangsungan keluarga saya.”

Adakah kemerdekaan tahun ini memberikan makna yang lain?

Captain K mempunyai jawapannya yang tersendiri bagi soalan ini. Baginya, sudah pasti kemerdekaan kali ini berbeza, ditambah pula dengan krisis yang menimpa bukan sahaja Malaysia malah satu dunia.

Dia memberitahu, kemerdekaan yang kita ‘rai’ tahun ini adalah kemerdekaan untuk bebas daripada penyakit yang menyerang negara dengan ‘sambutan’ pematuhan SOP yang telah ditetap pihak berwajib.

Siapa yang tak kenal dengan pelukis mural viral yang mengabdikan karya seninya sebagai tanda terima kasih kepada individu penting ketika wabak COVID-19 di sebuah lorong di Taman Cahaya Seksyen U12, Shah Alam.

Suhaimi Ali berasal dari Terengganu antara tiga insan yang memberi ‘senyuman’ kepada negara disaat pandemik yang melanda.

“Saya lukis potret Tuanku dan Doktor Nor Hisham sebab saya nak hargai jasa mereka dalam menangani COVID-19.”

Ditanya tentang kemerdekaan tahun ini, Suhaimi berkata, “Kemerdekaan tahun ini memberi makna yang lain pada diri saya kerana semakin dikenali dan berusaha untuk sentiasa produktif.”

Jika dilihat, ada beberapa negara luar yang mengumumkan sudah hampir kehabisan ikhtiar untuk membendung wabak COVID-19 dan ada yang hampir kehabisan sumber untuk mempertahankan ekonomi negara mereka, namun sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur kerana negara tanpa putus asa membantu rakyat melalui pelbagai inisatif.

Walaupun kemerdekaan tahun ini tidak seperti tahun-tahun lalu, tapi, dalam keadaan begini, ia menuntut kita sebagai ‘satu’ untuk sama-sama berganding bahu, prihatin dan menggalas tanggungjawab bersama, dalam memastikan COVID-19 dapat dibendung dan tanah air tercinta ini perlu terus terpelihara dari semua kesan negatif wabak itu.

Semangat “Malaysia Prihatin” perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan rakyat Malaysia. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-63.

The post 9 Tahun Di Awan Biru, Kisah Pilot Jadi Penghantar Makanan Ketika COVID-19 Dan Dua Lagi Insan Beri ‘Senyuman’ Pada Negara appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments