3 Tanda Alat Pemanas Air Rosak, Jangan Guna Untuk Elak Renjatan Elektrik

Pemanas air atau water heater antara yang selalu digunakan di rumah. Tapi bila membaca kemalangan yang berlaku terhadap seorang gitaris dan kakaknya hingga meragut nyawa akibat renjatan elektrik dari pemanas air terasa takut pula untuk menggunakannya.

Sebaiknya kejadian yang berlaku dijadikan iktibar agar kita lebih berhati-hati menggunakan pemanas air ini. kejadian malang sebegini boleh berlaku jika kita mengabaikan tanda-tanda kerosakan pemanas air. Sebagai langkah berjaga-jaga berikut antara tanda-tanda pemanas air di rumah kita rosak

1. Water heater yang kita guna keluarkan bunyi

Enjin yang berbunyi biasanya menunjukkan bahawa unit pemanasan telah digunakan terlalu lama hingga menyebabkan enapan terkumpul di dalam tangki. Enapan yang terkumpul dari masa ke masa akan mengeras dan merosakkan penapis air sehingga mesin berbunyi. Justeru, kita perlu menukar kepada alat pemanas baharu.

2. Air keluar di permukaan alat pemanas

Kebocoran pada tangki pemanas air berpunca dari mesin yang telah digunakan selama bertahun-tahun atau digunakan terlalu lama dalam sehari. Logam dalam tangki akan mengembang dan menyebabkan keretakan pada mesin. Sekiranya ia retak, gantikan dengan mesin baharu tanpa perlu mengganti paip.

3. Air keruh

Sekiranya air yang keluar dari pancuran kelihatan keruh, matikan mesin pemanas dengan cepat dan elakkan menggunakannya dalam masa terdekat. Uji juga bau air, jika berbau hamis ada kemungkinan berpunca dari paip utama mesin pemanas. Segera hubungi pembaik pulih untuk membaikinya.

Langkah pencegahan

1. Pastikan ada label SIRIM

Sebelum membeli barangan elektrik pastikan barang mempunyai label SIRIM. Label ini bermaksud barangan tersebut diiktiraf oleh SIRIM, menepati piawaian dan memenuhi standard khusus.

2. Pilih kontraktor elektrik yang berdaftar

Setelah memilih alat pemanas air elektrik yang diiktiraf, langkah seterusnya pilih kontraktor elektrik yang berdaftar untuk melakukan kerja-kerja pemasangan. Elakkan dari menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang tidak berdaftar serta mencuba untuk memasang alat pemanas air elektrik anda sendiri.
Adalah penting kerja-kerja melibatkan pendawaian elektrik dilaksanakan oleh mereka yang pakar dan bertauliah sahaja. Langkah ini bertujuan untuk mencegah kemungkinan alat pemanas air dipasang secara salah.

3. Gantikan alat pemanas air elektrik yang lapuk

Jika alat pemanas air elektrik model keluaran 10 tahun yang lalu atau lebih, anda perlu menggantikan alat tersebut dengan segera. Ini kerana alat pemanas air elektrik jenis model lama tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini.

4. Selenggara secara berkala

Ramai tidak mengetahui bahawa alat pemanas air elektrik juga perlu diselenggara dari masa ke semasa. Gunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar bagi tujuan menyelenggara alat pemanas air.

5. Uji dahulu pemanas air sebelum mandi

Buka air dahulu selepas itu tekan butang ‘elb test’ untuk melihat jika trip atau off bermaknya ia selamat. Jika ada litar pintas, ia akan mati secara automatik.
Jika berlaku tanda-tanda awal renjatan elektrik, cepat-cepat tekan butang ‘elb test’ yang juga berfungsi sebagai butang kecemasan.
Amat penting untuk kita memastikan produk yang dibeli menepati ciri-ciri keselamatan yang telah digariskan sebelum membuat sebarang pembelian.

Sumber: Productnation

The post 3 Tanda Alat Pemanas Air Rosak, Jangan Guna Untuk Elak Renjatan Elektrik appeared first on Vanilla Kismis.




Post a Comment

0 Comments