S.Pavithra Kekal Ikon Anak Bandar Raya Ipoh – MBI

IPOH, 28 Julai (Bernama) — Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih mengekalkan anugerah Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020 yang diberikan kepada pengguna YouTube sensasi, S. Pavithra, meskipun beliau menolak pengiktirafan tersebut.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata ini kerana tiada sebarang kenyataan rasmi dihantar Pavithra, 28, kepada MBI berhubung penolakan tersebut.

“Buat masa ini, kita masih lagi mengekalkan sebab tahun depan kita akan umumkan (anugerah ikon) pada sambutan 33 tahun Majlis Bandaraya Ipoh, bagi saya penganugerahan itu masih ‘status quo’,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pavitra dan suaminya, M.Sugu mencetuskan kontroversi apabila Sugu, 29, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit pada 24 Julai lepas.

Kejadian itu berlaku akibat perselisihan faham antara pasangan itu  selepas Pavitra diiktiraf sebagai Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020 oleh MBI baru-baru ini. Pavitra kemudiannya memaafkan perbuatan suaminya itu.

Sugu dan Pavitra kemudiannya mengambil keputusan menolak sebarang pengiktirafan ikon susulan kes tersebut dan memberikan alasan mahu mengutamakan penghasilan video masakan menerusi saluran Youtube seperti biasa.

— BERNAMA

The post S.Pavithra Kekal Ikon Anak Bandar Raya Ipoh – MBI appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments