“Saya Tidak Lakukan Kesalahan Jenayah. Saya Tidak Menipu” – Md Rayhan Kabir

Memetik laporan The Daily Star Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia semalam berkata saya tidak menipu mahupun melakukan kesalahan jenayah sewaktu ditemubual Al Jazeera dalam satu dokumentari berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia baru-baru ini.

Rayhan menghantar kiriman Whatsapp kepada wartawan The Daily Star Bangladesh dengan berkata “Saya tidak lakukan kesalahan jenayah. Saya tidak menipu.”

“Saya hanya mahu maruah negara dan migran seperti saya terjamin. Saya yakin semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya dalam isu ini,” 

Susulan penangkapan lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun itu oleh Jabatan Imigresen Malaysia semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Bin Daud menyatakan dia akan diusir keluar dari negara ini dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Terdahulu, Md Rayhan menjadi orang yang dikehendaki selepas muncul dalam satu dokumentari terbitan saluran berita antarabangsa Al-Jazeera yang bertajuk “Locked Up In Malaysia Lockdown”.

Dia didakwa memberikan kenyataan yang tidak tepat dalam dokumentari tersebut mengenai cara Malaysia melayan pendatang asing tanpa izin ketika pandemik Covid-19.

Dokumentari itu menimbulkan rasa tidak puas hati netizen terhadap Al-Jazeera malah, kerajaan Malaysia juga turut kesal dengan tindakan menyiarkan video tersebut serta info-info yang didakwa tidak tepat.

Sumber: The Daily Star

The post “Saya Tidak Lakukan Kesalahan Jenayah. Saya Tidak Menipu” – Md Rayhan Kabir appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments