Polis Siasat Video Tular Anak Kucing Dibakar Didakwa Berlaku Di Pahang

KUANTAN, 21 Julai (Bernama) – Polis Pahang sedang menyiasat kesahihan dakwaan kejadian anak kucing dibakar yang dikatakan berlaku di Pahang, selepas klip videonya tular di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, persatuan penduduk dan komuniti bagi mencari pelaku kejadian itu, jika benar ia terjadi di negeri ini.

Katanya beliau juga telah mengarahkan supaya semua Ketua Polis Daerah di Pahang untuk berhubung dengan persatuan dalam kawasan masing-masing bagi mengenal pasti sekiranya kejadian itu berlaku di Pahang seperti yang didakwa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM, dan Anugerah Integriti PDRM di Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar, dan perbuatan zalim itu dipercayai dirakam sendiri oleh pelakunya.

Persatuan itu menyatakan kejadian dipercayai berlaku di Pahang dan menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mereka yang mempunyai maklumat terhadap individu yang dipercayai mencurah minyak sebelum mencucuh api pada haiwan itu.

– BERNAMA

The post Polis Siasat Video Tular Anak Kucing Dibakar Didakwa Berlaku Di Pahang appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments