Mahkamah Tinggi Dijangka Sampaikan Keputusan Kes SRC Najib Pukul 10 Pagi Ini

keputusan src najib

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan sejak 6.30 pagi ini berikutan Mahkamah Tinggi dijadual mengumumkan keputusan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 67, akan mengetahui sama ada beliau dibebaskan atau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC.

Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka menyampaikan keputusan pada 10 pagi.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Kompleks mahkamah di bawah pengawasan polis yang ketat iaitu pasukan Light Strike Force (LSF) dan unit K9 dikerah di pintu pagar utama.

Sekumpulan individu dipercayai penyokong Najib, telah berkumpul di pintu pagar utama tetapi mereka tidak dibenarkan masuk ke kompleks mahkamah kerana pihak polis hanya membenarkan individu yang mempunyai pas khas.

Para wartawan dari media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul seawal 6 pagi di pintu masuk utama hanya dibenar masuk ke kompleks mahkamah pada 8.45 pagi.

Sepuluh wartawan, seorang dari setiap pertubuhan media, diberi pas untuk membuat liputan dalam mahkamah manakala 40 wartawan lain diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di bilik lain.

Sumber: BERNAMA

The post Mahkamah Tinggi Dijangka Sampaikan Keputusan Kes SRC Najib Pukul 10 Pagi Ini appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments