Lelaki Mengaku Sebagai Wartawan Cuba Untuk Cabut Misai Daripada Harimau

Misi pemindahan seekor harimau Sumatera di Sumatra Barat, Indonesia awal minggu lalu ternyata meninggalkan cerita yang kurang enak. Ini kerana semasa proses pemindahan tersebut dijalankan, ada seorang lelaki yang pada awalnya mengaku sebagai wartawan dan Youtuber berusaha untuk mencabut misai harimau tersebut bagi kepentingan peribadi.

Tindakan tersebut dianggap menyalahi undang-undang kerana cuba mengeluarkan anggota badan daripada tubuh haiwan liar yang dilindungi oleh undang-undang. “Kami telah mendapatkan maklumat daripada lelaki itu dan dia memberikan kerjasama dengan baik. Dia mengakui kesalahannya dalam usaha mengambil bahagian pada haiwan tersebut,” kata Ketua Seksyen Pemuliharaan II BKSDA Sumatera Barat, Eka Damayanti.

Eka menyatakan bahawa ketika ini, lelaki berkenaan tidak ada menyimpan misai harimau. Ini kerana, ketika dia ingin mencabut misai harimau yang bernama Ciunuang Nurantih itu tidak berjaya kerana tindakannya itu disedari oleh pegawai yang menangkapnya.

Setelah mengakui perbuatannya, lelaki yang ingin mengambil misai harimau itu telah membuat kenyataan untuk tidak mengulangi perbuantannya lagi. Walaupun mereka telah membuat pernyataan, tindakan undang-undang ke atasnya masih akan diambil. “Orang itu tidak menyimpan misai. Apabila melihat daripada video, dia tidak berjaya mendapatkan misai berkenaan. Untuk kes ini, kami masih menunggu arahan selanjutnya,” kata Eka.

Sumber: Republika

The post Lelaki Mengaku Sebagai Wartawan Cuba Untuk Cabut Misai Daripada Harimau appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments