Khairy Bincang Mengenai Vaksin COVID-19 Dengan Menteri China

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari China Wang Zhigang hari ini mengadakan sidang video yang antara lain membincangkan mengenai vaksin COVID-19.

MOSTI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan fokus dialog secara maya itu adalah untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama kedua-dua negara berkaitan penyelidikan dan pembangunan vaksin.

“MOSTI telah berkongsi pandangan Malaysia supaya vaksin COVID-19 perlu dijadikan sebagai komoditi awam dan mudah diperoleh bagi kebanyakan negara yang terjejas akibat wabak ini.

“MOSTI juga menyatakan hasrat Malaysia untuk mendapatkan vaksin tersebut secara awal dari China apabila ia siap dihasilkan nanti,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOSTI, dalam mesyuarat sama juga Malaysia telah menawarkan kepakaran proses akreditasi halal bagi vaksin yang dihasilkan oleh China apabila ia siap dibangunkan kelak.

MOSTI melalui Institut Bioteknologi Negara (NIBM) akan mengkoordinasi inisiatif itu selari dengan penyediaan hala tuju pembangunan vaksin negara, menurutnya.

“Perbincangan turut menyentuh mengenai kolaborasi kedua-dua negara dalam teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), kerjasama membangunkan Artificial Intelligence (AI) Park (Taman Kecerdasan Buatan), kerjasama bidang sains angkasa dan perkongsian pengalaman berkenaan teknologi Block-chain.

“Kedua-dua negara berharap mesyuarat ini dapat memperkasakan hubungan dua hala antara Malaysia dan China terutamanya dalam bidang sains dan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

The post Khairy Bincang Mengenai Vaksin COVID-19 Dengan Menteri China appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments