Ibu Muda Bawa Anak Dua Tahun Hisap Dadah Ditahan

George Town: Seorang wanita tergamak membawa anaknya berusia dua tahun ke sebuah rumah sewa kenalannya di Gelugor, di sini semata-mata untuk melepaskan gian dadah bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, tindakan wanita berumur 23 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan bersama empat individu lain di rumah teres itu dalam serbuan dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semalam.

Pengarah AADK Negeri, Elmariah Chung berkata pihaknya menjalankan serbuan pada 7 malam hasil risikan dan intipan dijalankan pihaknya sebelum menahan lima orang termasuk ibu muda berkenaan.

“Rumah itu disewa pasangan kekasih berumur 21 dan 26 tahun yang turut mengaku terbabit dengan kegiatan penagihan dadah, mereka mendakwa rakan-rakan termasuk ibu muda tersebut sering berkunjung ke rumah sewa berkenaan dipercayai untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 40-an yang dipercayai tokan dadah dan sebanyak 16 gram heroin turut dirampas daripada mereka.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati lima individu termasuk dua wanita itu positif dadah dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai cuba memukul anak lelakinya berusia lapan tahun menggunakan penukul ketika mereka berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki berumur 42 tahun itu ditahan pada 9 malam di Air Itam dan polis turut menyelamatkan anak lelaki itu yang berada bersama bapanya sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

“Polis menerima laporan daripada isteri lelaki itu yang berusia 37 tahun berhubung kejadian tersebut selepas wanita berkenaan menerima kiriman video daripada adiknya yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian lif sebuah perumahan di bandar berkenaan.

“Rakaman video itu menunjukkan suspek cuba memukul mangsa dengan menggunakan penukul ketika berada di dalam lif terbabit dan kanak-kanak lelaki tersebut dilihat berada dalam ketakutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah manakala satu lagi kes jenayah namun ujian awal air kencingnya mendapati negatif dadah.

“Lelaki itu direman bagi membantu siasatan lanjut kes itu menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

— BERNAMA

The post Ibu Muda Bawa Anak Dua Tahun Hisap Dadah Ditahan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments