Arab Saudi Lulus Permohonan Lapan Jemaah Malaysia Tunai Haji

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Lapan rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi terpilih dalam kalangan 1,000 jemaah yang dibenarkan negara itu untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata jemaah berkenaan telah membuat permohonan terus kepada Kerajaan Arab Saudi.

“Insya-Allah petang ni saya akan buat sidang video dengan mereka (jemaah Malaysia)…saya akan cuba tanya mereka bagaimana persediaan mereka dan akan titipkan sebahagian nasihat kepada mereka sebelum bergerak ke Arafah esok,” katanya kepada pemberita selepas Program Misi Musa’adah Pasca COVID-19 JAWI Food Bank di Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Sentul, di sini, hari ini.

Dalam program itu, Zulkifli telah menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, bihun, sardin, susu dan biskut kepada 50 penduduk yang memerlukan.

Misi Musa’adah Pasca COVID-19 JAWI Food Bank diadakan dengan tujuan meringankan bebanan penduduk yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 yang terkesan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ditanya tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika ibadah korban tahun ini, beliau berharap  setiap orang perlu memainkan peranan penting dalam pematuhan SOP dan saling menasihati antara satu sama lain supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

–BERNAMA

The post Arab Saudi Lulus Permohonan Lapan Jemaah Malaysia Tunai Haji appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments