Aidiladha : AADK Buat Ujian Saringan Air Kencing Setiap Pemandu Bas

KUALA LUMPUR, 29 Julai  — Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan membuat ujian saringan air kencing kepada setiap pemandu bas dalam Ops Terminal di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan, di sini, sebelum mereka bergerak ke destinasi masing-masing mulai hari ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata operasi ini melibatkan seramai 50 pengusaha bas dan 25 terminal di seluruh negara untuk mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan pemandu bas disebabkan penyalahgunaan dadah.

“Kami percaya bahawa kebanyakan pemandu-pemandu ini bersih daripada masalah penyalahgunaan dadah dan AADK hendak memastikan supaya mereka tidak terdorong mengambil bahan-bahan yang kononnya boleh menjadikan mereka lebih bertenaga ketika memandu,” katanya pada sidang media selepas  melancarkan  Ops Terminal, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata berdasarkan statistik tahun 2019 seramai 14 daripada 3,505 pemandu disahkan positif saringan awal pada Ops Tahun Baru Cina manakala bagi Ops Raya seramai lapan daripada 3,046 pemandu disahkan positif saringan awal.

Ops Terminal yang  bermula pada hari ini sehingga esok dan akan disambung dari  4 hingga 5 Ogos.

“Saya juga memohon pihak TBS dan pengusaha-pengusaha bas yang mempunyai rangkaian bas yang besar untuk membantu AADK dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahayanya dadah ini dengan memaparkan klip-klip video antidadah kepada penumpang serta orang ramai di terminal,” katanya.

Zulkifli berkata klip video boleh ditayangkan di dalam bas mahupun di terminal dan berharap ia boleh dilakukan dalam masa terdekat.

— BERNAMA

The post Aidiladha : AADK Buat Ujian Saringan Air Kencing Setiap Pemandu Bas appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments