(Video) “Dulu Dia Selalu Beli Saya Pau”, KP Petaling Jaya Ziarah Aunty Cina Imbau Memori Berdekad Lalu

polis pau

Puluhan tahun sudah berlalu, namun kebaikan seorang wanita berbangsa Cina ini masih diingati Nik Ezanee.

Kini menjadi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal kembali menziarahi Puan Ah Siong sambil bertanya khabar wanita warga emas itu.

Kalau dahulu aunty Ah Siong sering memberi pau ketika Ezanee masih kecil semasa melawat ke tempat kerja ayahnya, kini lelaki itu pula membalas kebaikan wanita itu.

“Masa saya kecil, dia selalu beli saya pau. Orang tua saya kerja di kawasan ini dan dia pun bekerja sekali. Bila saya ikut pergi pejabat tu, dia beri saya pau.

“Sekarang ni saya boleh beli pau saya sendiri, saya hantar baliklah kat dia,” katanya.

Detik menyentuh emosi itu dikongsikan laman Polis Daerah Petaling Jaya semalam dan mendapat lebih 30 ribu tanda suka.

Malah, Aunty Ah Siong turut menyimpan keratan akhbar mengenai Nik Ezanee layaknya seorang ibu yang bangga dengan anak sendiri.

Wanita itu juga sempat memegang ‘paku’ pada seragam Nik Ezanee dengan kekaguman terpancar di wajahnya.

Sebelum berpisah, Nik Ezanee sempat berpesan kepada Aunty Ah Siong,

“Kalau Aunty ada sebarang masalah, aunty boleh jumpa mana-mana dari kami semua di sini. Jangan risau. Kami bodyguard aunty.”

Beliau turut menyerahkan topeng muka kepada wanita berkenaan dalam pertemuan ringkas tersebut sebagai tanda keprihatinan kepada golongan berisiko tinggi ketika pandemik COVID-19.

Tambahnya, beliau melakukan pertemuan itu sebagai langkah permulaan para pegawai polis memantau dan menyantuni warga emas di sana.

"One good deed a day.." OCPD did it!

Posted by Polis Daerah Petaling Jaya on Tuesday, June 16, 2020

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya

The post (Video) “Dulu Dia Selalu Beli Saya Pau”, KP Petaling Jaya Ziarah Aunty Cina Imbau Memori Berdekad Lalu appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments