‘Kuasa Tular’ Bantu OKU Pasarkan Labu

KUANTAN, 18 Jun — “Kuasa tular” di media sosial menjadi `penyelamat’ kepada petani Orang Kurang Upaya (OKU), Izzat Amir Adam yang buntu untuk memasarkan lambakan buah labu yang diusahakannya.

Izzat Amir, 29, yang mengusahakan tanaman labu di tanah seluas kira-kira satu hektar di Nenasi di Pekan dekat sini, berkata buah labu itu tidak terjual ekoran pembeli utama mengurangkan jumlah pembelian.

Pemuda itu juga berdepan masalah untuk memasarkan sendiri buah labu itu kerana tidak mempunyai kenderaan sesuai, sehingga seorang ahli keluarganya mencadangkan supaya dirinya membuat video ‘iklan’ di media sosial.

“Alhamdulillah, video itu tular dan ramai yang mahu membantu membeli. Saya tidak menyangka ramai yang prihatin, malah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli sebanyak tujuh tan labu semalam.

“Sekarang saya masih mempunyai kira-kira 20 tan labu untuk dijual dan saya harap dapat dihabiskan dalam selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan sebelum buah menjadi busuk,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Izzat Amir yang kehilangan lima jari kanan akibat kemalangan semasa menggunakan mesin menuai padi empat tahun lepas, berkata buah itu hasil tanaman yang dilakukan pada Mac lepas dengan jangkaan dapat memperoleh hasil sekitar RM5,000.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka tanaman itu ‘begitu menjadi’ apabila memperoleh sekitar 85 tan labu berbanding sebelumnya yang biasanya sekitar 30 tan.

Sumber: BERNAMA 

The post ‘Kuasa Tular’ Bantu OKU Pasarkan Labu appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments