Kebakaran Di HSA Tular Di Media Sosial

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) — Satu kebakaran dilaporkan berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sebentar tadi.

Berdasarkan beberapa video yang dikongsikan netizen di laman sosial Facebook, kebakaran dilihat berlaku di wad perubatan perempuan satu, tidak jauh dari Klinik Kesihatan Mahmoodiah.

Video itu juga memaparkan petugas-petugas kesihatan sedang berusaha untuk memindahkan sejumlah pesakit yang berada di wad berkenaan ke perkarangan kawasan hospital yang lebih selamat.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang dihubungi wartawan mengesahkan kejadian kebakaran itu dan menyatakan kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba difahamkan sudah tiba dan meninjau lokasi kejadian.

Sementara itu, tinjauan Bernama di tempat kejadian pada kira-kira 4 petang, mendapati beberapa jentera dan kenderaan bomba masih berada di perkarangan wad itu, walaupun kebakaran difahamkan sudah berjaya dipadamkan.

Sekumpulan pengamal media  turut berkumpul di depan wad berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini kebakaran.

Kali terakhir HSA terbakar adalah pada Oktober 2016 melibatkan kebakaran di  tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang turut mengakibatkan enam pesakit maut.

— BERNAMA

The post Kebakaran Di HSA Tular Di Media Sosial appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments