Hukum Melakukan ‘Lathi Challenge’ Adalah Haram & Berdosa- Mufti Wilayah

Kita semua sedia maklum, Lathi Challenge yang diketengahkan melalui satu aplikasi terkenal di Malaysia telah tular di media sosial dan ramai yang meyahut cabaran tersebut.

Paling terkesan adalah si pelaku akan mengenakan pakaian tradisional dan menari ikut rentak lagu tersebut dan kemudiannya menukar wajah didakwa menyerupai ‘lembaga’ yang mengerikan.

Oleh itu, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abddulah menjelaskan secara ringkas dan padat untuk mengelakkan kekeliruan. umat Islam di Malaysia khususnya

Mari kita teliti penjelasannya dengan soalan yang ditujukan.

SOALAN

Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya pandangan SS Mufti berkaitan Lathi Challenge yang tular di media sosial akhir-akhir ini.

Mohon penjelasan dari SS Mufti. Terima kasih.

RINKASAN JAWAPAN

Hukum seseorang melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa. Hal ini kerana ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran. Oleh itu, kami ingin menasihati orang ramai khususnya umat Islam agar tidak terlibat di dalam cabaran-cabaran (challenges) yang berbentuk pemujaan dan ritual seperti ini demi menjaga akidah kita.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Waalaikumussalam WBT.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Setakat maklumat yang kami dapati, Lathi Challenge ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran tersebut. Challenge ini merupakan cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.

Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul bagi sebuah lagu single yang dinyanyi Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira. Di dalam music video offical, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik. Malah, di dalam lirik turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.

Pertamanya, kami ingin menegaskan bahawa tindakan menularkan cabaran-cabaran (challenges) seperti ini tidak patut dilakukan, apatalagi ia melibat perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah Islam. Hal bersandarkan kepada hadith dari Jarir Ibn Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَأُتْبِعَ عَلَيْهَا ؛ فَلَهُ أَجْرُهُ، وَمِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ، غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا. وَمَنْ سَنَّ سُنَّةَ شَرٍّ فَأُتْبِعَ عَلَيْهَا ؛ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهُ، وَمِثْلُ أَوْزَارِ مَنِ اتَّبَعَهُ، غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti amalan tersebut, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang melakukan perkara yang buruk, lalu diikuti amalan tersebut, maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada dosa mereka sedikitpun.

Hadith riwayat Muslim: 2675

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolongan daripada golongan mereka.

Hadith riwayat Abu Daud: 4031

Para ulama’ telah mensyarahkan hadith di atas seperti berikut:

قَالَ الْمُنَاوِيُّ وَالْعَلْقَمِيّ : أَيْ تَزَيَّى فِي ظَاهِره بِزِيِّهِمْ , وَسَارَ بِسِيرَتِهِمْ وَهَدْيهمْ فِي مَلْبَسهمْ وَبَعْض أَفْعَالهمْ اِنْتَهَى

Al-Munawi dan al-‘Alqamiy berpandangan: maksud hadith (menyerupai sesuatu kaum) adalah berpakaian dengan zahir pemakaian mereka, mengikuti stail dan trend mereka dalam berpakaian dan sebahagian perbuatan. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud ‘ala Sunan Abi Dawud, 9:54)

وَقَالَ الْقَارِي : أَيْ مَنْ شَبَّهَ نَفْسه بِالْكُفَّارِ مَثَلا مِنْ اللِّبَاس وَغَيْره , أَوْ بِالْفُسَّاقِ أَوْ الْفُجَّار أَوْ بِأَهْلِ التَّصَوُّف وَالصُّلَحَاء الأَبْرَار (فَهُوَ مِنْهُمْ) : أَيْ فِي الإِثْم وَالْخَيْر.

Manakala, al-Qari pula berpandangan: maksudnya adalah, barangsiapa yang menyerupakan dirinya sebagai orang-orang kafir sebagai contoh, dalam berpakaian dan perkara yang lain, atau sebagai orang fasiq, orang yang fajir (keji), atau ahli tasawwuf, orang yang soleh dan baik, maka dia adalah daripada mereka, iaitu dalam perkara kemaksiatan atau kebaikan. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud ‘ala Sunan Abi Dawud, 9:54)

Kesimpulan

Berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan di atas, maka tarian dan lirik lagu yang mempunyai unsur pemujaan dan ritual yang menyalahi akidah Islam, serta pemakaian dan solekan yang menyerupai syaitan atau hantu seperti Lathi Challenge ini termasuk dalam tasyabbuh yang dilarang di dalam hadith. Oleh itu, hukum seseorang melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa.

Kami menasihati orang ramai supaya berhenti menularkannya dengan berkongsi video-video di media sosial dan tidak terlibat di dalam cabaran-cabaran (challenges) yang berbentuk pemujaan dan ritual seperti ini demi menjaga akidah kita.

WaAllahu a’lam.

 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

The post Hukum Melakukan ‘Lathi Challenge’ Adalah Haram & Berdosa- Mufti Wilayah appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments