(Video) Rakaman Rumput Kekal Hijau Walau ‘Dibakar’ Api Tarik Perhatian Penduduk Setempat

Berikut adalah detik-detik yang menimbulkan tanda tanya mengenai api yang menyala melalui lapisan benih pokok yang mudah terbakar di taman sehingga rumput segar di bawahnya tidak rosak.

Adegan luar biasa itu berjaya dirakamkan oleh Juan Carlos Gil Lopez, 44, di bandar Calahorra yang terletak di utara Sepanyol, dan menjadi tular sehingga dikongsi oleh warganet di media sosial.

Dalam video tersebut, api yang bergerak dalam keadaan sebaris dilihat terbakar melalui benih putih daripada pokok poplar hitam yang kelihatan seperti bulu.

Ketika api melalui sambil membakar lapisan benih tersebut, rumput yang berada di bawah lapisan itu kelihatan tidak rosak, malahan kejadian itu dilihat seakan satu fenomena yang unik.

Gil Lopez berkata: “Saya tinggal berdekatan dengan taman itu dan keluar bersama anak perempuan saya Cayetana untuk berjalan-jalan, seperti yang dibenarkan, dan kami telah mendapati bahawa taman itu dilitupi dengan debu. Ketika mahu menghampirinya, kami ternampak ada api kecil yang sedang membakar.

“Saya tidak pernah menyaksikan perkara sebegitu.”

Gil Lopez menyatakan bahawa dia telah menghubungi talian kecemasan. Pasukan bomba terus dikerahkan ke tempat kejadian dan segera memadamkan api itu.

Tambahnya: “Rumput di taman itu tidak terbakar pun, sangat mengagumkan apabila melihat rumput itu kembali bertukar kehijauan.”

Warganet dengan pantasnya mengenal pasti bahawa kapas yang berbulu itu merupakan benih daripada pokok poplar hitam yang sangat mudah terbakar.

Api yang dirakamkan itu hanya membakar benih tersebut sahaja. Rumput dan pokok yang berada di taman terbabit dilaporkan tidak rosak hasil daripada api tersebut.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Rakaman Rumput Kekal Hijau Walau ‘Dibakar’ Api Tarik Perhatian Penduduk Setempat appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments