(Video) Majikan, Lebih Baik Saring Pekerja Asing Dari Terpaksa Tutup Operasi Syarikat -Menteri

Putrajaya, 5 Mei – Menteri Kanan (Bahagian Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan tidak mahu penularan COVID-19 meningkat mendadak berlaku di Malaysia seperti Singapura.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai arahan menjalankan saringan wajib kepada semua pekerja warga asing oleh majikan di negara ini. Arahan itu kurang dipersetujui Persatuan Majikan (MEF) yang mendakwa terpaksa menanggung kos sebanyak RM1.15 bilion bagi menampung saringan tersebut. Sebaliknya, mereka mencadangkan kerajaan agar memfokuskan saringan terhadap pendatang asing tanpa izin.

“Kita keluarkan arahan terbaru ini kerana bimbang wujud kluster baru iaitu kluster pekerja warga asing,” katanya.

“Sebab tiga hari lepas selama dua hari berturut-turut berlaku peningkatan yang agak tinggi kerana kluster baru ini, iaitu pekerja asing di tapak pembinaan yang telahpun kita tutup.

“Kerana kita tidak mahu jadi seperti negara jiran kita iaitu Singapura yang selama ini mendatar kes COVID-19 positif mereka. Tetapi kerana adanya kluster baru iaitu kluster warga asing di Singapura, akhirnya kenaikan graf positif COVID-19 menaik tinggi,” ujar beliau.

Tambahnya, majikan perlu memahami tujuan arahan itu untuk kebaikan semua.

“Persatuan Majikan perlu faham bahawa apa kita buat ini untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat kita,” jelasnya.

“Jika berlaku kes positif dalam kalangan pekerja mereka, kita akan tutup syarikat mereka.

“Bagi saya adalah lebih baik mereka buka kilang mereka dari ditutup, oleh itu perlulah dibuat ujian kepada pekerja mereka supaya yang positif kita asingkan, kita rawat, yang negatif masih terus boleh bekerja. Dengan itu, kilang atau premis perniagaan mereka boleh diteruskan.”

Untuk peringkat awal ini, beliau berkata, kerajaan memfokuskan saringan dengan pekerja di tapak pembinaan di Kuala Lumpur dan Selangor terlebih dahulu atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya lagi, lebih 60 peratus dari pekerja asing merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mana mereka akan ditanggung badan tersebut untuk saringan.

Ucapan bermula pada minit ke 19:00.

Sumber: RTM

The post (Video) Majikan, Lebih Baik Saring Pekerja Asing Dari Terpaksa Tutup Operasi Syarikat -Menteri appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments