Staf Stesen Kereta Api Meninggal Dunia Beberapa Hari Selepas Diludah Lelaki Mengaku Positif COVID-19

Seorang wanita berusia 47 tahun meninggal dunia dua minggu selepas diludah seorang lelaki yang mengaku positif COVID-19.

Menurut Sky News, Belly Mujinga yang bekerja di Stesen Kereta Api Victoria, London bersama seorang rakannya diserang individu itu pada 22 Mac lalu.

Kongsi sepupu mangsa, Agnes, Belly bersama rakan setugasnya telah dihampiri seorang lelaki ketika mereka sedang bekerja sebelum ditanya apa yang mereka lakukan.

“Jawab mereka, ‘Kami bekerja’, kemudian lelaki itu berkata ‘Saya ada COVID-19’ dan terus meludahi kedua-duanya.”

Risau dengan keselamatan mereka, Belly dan rakannya meminta untuk bekerja di dalam pejabat sahaja. Walaubagaimanapun, beberapa hari selepas serangan, kedua-dua wanita itu jatuh sakit.

Belly yang mempunyai sejarah masalah pernafasan dimasukkan ke hospital pada 2 April dan dipakaikan ventilator sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian.

“Mereka tidak diberi topeng muka atau sarung tangan, jadi mereka terdedah dengan semua orang,” kata suami mangsa, Lusamba Gode Katalay.

Tambahnya, dia sempat berbual melalui panggilan video bersama isterinya sebelum mangsa meninggal dunia.

“Saya ingatkan dia tidur, tetapi doktor menghubungi saya dan memberitahu dia telah meninggal dunia,” katanya.

“Dia merupakan seorang yang baik, ibu dan isteri yang baik. Dia seorang yang prihatin dan akan menjaga semua orang,” tambahnya.

Pemergian Belly menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap kekurangan pakaian perlindungan diri (PPE) dalam kalangan petugas barisan hadapan di negara itu, lapor Sky News.

Sumber: Sky News, BBC

The post Staf Stesen Kereta Api Meninggal Dunia Beberapa Hari Selepas Diludah Lelaki Mengaku Positif COVID-19 appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments