Rakyat Di Zon Hijau Berhati-Hatilah, Jangan Ingat Dah Selamat & Bebas Bergerak Sana Sini – PM

Putrajaya, 10 Mei – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai di zon hijau COVID-19 agar terus berhati-hati.

Katanya, biarpun 94.4 peratus zon di Malaysia adalah zon hijau, orang ramai di kawasan ini perlu berhati-hati kerana virus ini adalah musuh senyap semua.

“Bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas.

“Anda mungkin beranggapan tidak dijangkiti wabak ini kerana anda di kawasan hijau. Tetapi saya ingin ingatkan selalu virus COVID-19 ini adalah musuh senyap yang kita tidak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Jadi, berhati-hatilah,” pesannya.

Tambah beliau, hasil kerja keras petugas barisan hadapan dan kerjasama rakyat, negara kita hampir berjaya menjadikan seluruh zon berstatus hijau.

“Hasil usaha sungguh-sungguh petugas barisan hadapan dan disiplin rakyat sepanjang tempoh PKP dan PKPB, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau.

“Kawasan-kawasan ini tidak mencatatkan sebarang kes positif COVID-19 baru dalam tempoh dua minggu lalu.

“Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon, dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus dikategorikan sebagai hijau manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning, dan hanya 4 atau 0.5 peratus sahaja masih berstatus merah (lebih 41 kes).

Walaubagaimanapun, beliau menasihatkan semua rakyat Malaysia agar terus menjaga kebersihan, penjarakan sosial dan mengurangkan aktiviti di luar rumah, terutamanya bagi penduduk di zon merah.

“Hanya empat kawasan setakat ini yang masih berstatus merah iaitu Mukim Batu, Gombak; Zon Batu, Mukim Batu Kuala Lumpur; zon Kampung Baru, Mukim Bandar dan zon Pedas, daerah Rembau.

“Saya nasihatkan penduduk kawasan ini supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah. Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung, sentiasa bersihkan tangan serta kurangkan aktiviti di luar rumah.

“Bagi penduduk di luar kawasan ini, nasihat saya jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak terdedah dengan jangkitan wabak COVID-19 ini,” pesan beliau.

Sumber: RTM

The post Rakyat Di Zon Hijau Berhati-Hatilah, Jangan Ingat Dah Selamat & Bebas Bergerak Sana Sini – PM appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments