Penjawat awam palsukan surat kebenaran

SEORANG penjawat awam dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya selepas didapati cuba memalsukan surat kebenaran merentas negeri untuk membolehkan mereka tinggal lebih masa di sini untuk menyambut Aidilfitri.

Lelaki berusia 40-an yang bekerja sebagai kerani itu sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu namun dia dipercayai menukar tarikh surat berkenaan ke tarikh semalam.

Difahamkan, lelaki itu bersama isteri dan dua anak mereka pulang ke negeri ini dengan alasan menghantar ubat kepada bapanya di Pendang.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, bagaimanapun tindakan lelaki itu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran dari Pendang ke Putrajaya, semalam.

Bagaimanapun pihak polis meminta lelaki itu mengemukakan surat kebenaran dari Putrajaya dan mengesyaki sesuatu mencurigakan pada surat berkenaan.

Berikutan itu katanya, anggota polis terbabit menghubungi pihak polis yang mengeluarkan surat kebenaran itu di Putrajaya sebelum mendapati terdapat tarikh yang berbeza dan mengesahkan individu itu sepatutnya pulang pada 17 Mei lalu tetapi tarikhnya sudah diubah.

“Berikutan itu, lelaki terbabit dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke sana (Putrajaya) dan tinggal di kampung di sini sehingga siasatan kes selesai.

“Kes diserahkan ke Bahagian Komersial untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemalsuan surat kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah, premis makanan segera dan pasar raya di sekitar bandar raya ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Dalam pada itu, Zainuddin mengingatkan kepada semua penjawat awam yang mereka boleh diambil tindakan sekiranya didapati mereka merentas negeri tanpa kebenaran.

Katanya, mereka akan menerima padah jika melanggar undang-undang dan SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, hasil pemeriksaannya di dua rumah iaitu di Lorong Kampung Borhan, Jalan Langgar dan Taman Saga, Alor Mengkudu mendapati rumah berkenaan mengikut SOP ditetapkan.

Katanya, walaupun banyak kereta di halaman rumah namun didapati ahli keluarga dua rumah terbabit tinggal di negeri ini.

Sumber : hmetro




Post a Comment

0 Comments