Pengguna Diminta Kemaskini Aplikasi Gerak Malaysia Versi 2.5, Perlu Tunjuk Kod QR Untuk Merentas Negeri – PDRM

Individu yang tidak mempunyai kod QR perlu mengemukakan surat permohonan dan kelulusan secara manual di balai polis berhampiran untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pengguna perlu mengemaskini maklumat mereka di aplikasi Gerak Malaysia untuk mendapatkan kod QR sebagai tanda mendapat kebenaran.

“Orang ramai yang melalui sekatan jalan raya nanti perlu pamerkan kod QR kepada anggota polis yang meminta. Bagi yang tiada kod QR ini perlu mempunyai surat permohonan dan kelulusan balai polis berhampiran,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kemaskini butir perjalanan

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengemaskini maklumat di aplikasi tersebut dengan segera.

“Orang ramai yang telah membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia dinasihatkan mengemaskini butir alamat asal dan destinasi pada 4,5 dan 6 haribulan Mei.

“Langkah terakhir yang harus diambil orang ramai sebelum memulakan perjalanan antara negeri adalah mengemaskini aplikasi Gerak Malaysia ke versi 2.5 yang akan dapat dicapai pada hari ini,” katanya.

Setelah aplikasi ini telah dikemaskini, kod QR akan dijana dan dipaparkan di skrin telefon bimbit masing-masing. Kod yang dijana ini menjadi bukti perjalanan antara negeri telah diluluskan, tambahnya.

Hanya sebahagian kemaskini maklumat

Hanya 29.5 peratus dari lebih 500,000 orang pemohon sahaja sebelum ini yang mengemaskini maklumat mereka di aplikasi Gerak Malaysia, katanya.

“Sebelum ini kita maklumkan orang ramai membuat pendaftaran sahaja tanpa tunggu kelulusan, tapi kali ini kita sediakan kod QR,” katanya.

Menurutnya, penggunaan kod QR ini adalah disebabkan perjalanan antara negeri masih tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya lagi, kod tersebut bagi memastikan orang ramai yang benar-benar terkandas sahaja melakukan perjalanan antara negeri mengikut tempoh yang ditetapkan.

Ia dijangka membantu pihak polis merancang pelan melancarkan aliran trafik dan menjimatkan masa pemeriksaan di sekatan jalan raya.

Kod QR juga penting bagi membantu kerajaan mengenalpasti dan mengesan kontak rapat individu yang dijangkiti COVID-19 dalam masa singkat, katanya.

Polis akan mengimbas kod tersebut di sekatan jalan raya bagi memastikan perjalanan itu sah atau tidak.

Sumber: PDRM

The post Pengguna Diminta Kemaskini Aplikasi Gerak Malaysia Versi 2.5, Perlu Tunjuk Kod QR Untuk Merentas Negeri – PDRM appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments