Jika Jangkitan Naik Mendadak, PKPB Mungkin Ditamat & PKP Dikenakan Semula- Menteri

Orang awam diseru supaya tidak mensia-siakan kebebasan yang diberikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kebebasan yang diberikan kepada rakyat adalah perlu diambil dengan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan diri, keluarga dan masyarakat sekitar.

“Sebab itulah saya katakan bahawa pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat penting sekali.

“Keadaan terkini mungkin boleh berubah, esok lusa mungkin boleh berubah.

“Jadi kalau ingin kekal seperti ini, kita perlulah mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam Sidang Media Harian PKP, hari ini.

Ismail berpesan sedemikian selepas memberi contoh situasi perintah berkurung 24 jam selama lima hari yang dikuatkuasakan di Arab Saudi menjelang hari raya nanti.

Bagaimanapun, Ismail menambah, rakyat juga diseru untuk bersedia sekiranya keadaan berubah dan berkemungkinan PKP bakal dilaksanakan semula.

“Kita kena juga bersedia, jika situasi berubah, jika data menunjukkan kenaikan (jangkitan) mendadak dan sebagainya, kemungkinan PKPB tidak boleh diteruskan dan PKP akan dikenakan semula.

“Oleh itu, segala kebebasan yang sedang kita nikmati mungkin akan ditamatkan.

“Tepuk dada, tanya selera. Keputusan ada di tangan tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” jelasnya lagi.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada minit 17.15.

Sumber:  BERNAMA TV

The post Jika Jangkitan Naik Mendadak, PKPB Mungkin Ditamat & PKP Dikenakan Semula- Menteri appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments