Guru KAFA Terima Penghargaan Selamatkan Empat Remaja Hampir Lemas

BAGAN DATUK, 29 Mei – Tindakan pantas seorang lelaki menyelamatkan empat remaja perempuan yang hampir lemas Rabu lepas mendapat penghargaan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata sijil penghargaan itu diberikan kepada Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, sebagai tanda terima kasih atas keberanian dan kecekapan dalam menyelamatkan empat nyawa biarpun tidak mengenali mangsa.

“Bukan senang untuk seseorang itu melakukan kerja menyelamat terutama di dalam air dengan keadaan arus deras dan badan yang berat, dia menggadaikan nyawa berusaha menyelamatkan kesemua mangsa.

“Sikap ini harus dipuji dan perlu diikut oleh orang ramai terutama apabila melibatkan nyawa namun keselamatan diri juga perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada Muhammad Nor Imran Maula di Hutan Melintang, di sini hari ini.

Muhammad Nor Imran berkata dia bersyukur kerana berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan tidak menyangka tindakannya itu mendapat perhatian orang ramai.

Katanya, segala tindakannya itu adalah spontan demi menyelamatkan nyawa keempat-empat remaja perempuan itu biarpun keadaan sungai ketika itu deras dan bahaya.

“Saya menggunakan seluruh kudrat yang ada dan dengan izin Allah, semuanya selamat. Saya mengambil masa lebih 30 minit untuk menyelamatkan kesemua mangsa ketika itu dan kebanyakan mereka memang lemah serta tidak bermaya,” kata guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Muhammadiah, Hutan Melintang itu.

Muhammad Nor Imran berkata dia tidak putus-putus menerima pesanan teks dan panggilan daripada individu dan pihak tidak dikenali yang mengucapkan terima kasih dan memuji tindakannya sejak kejadian itu.

“Kakak seorang daripada mangsa juga ada menghubungi saya untuk berjumpa dan berterima kasih,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Nor Imran turut menerima penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pejabat Agama Islam Bagan Datuk.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan hari ini turut memuji tindakan berani Muhammad Nor Imran itu dan pentadbiran kerajaan negeri akan mempertimbangkan sumbangan khas sebagai menghargai jasanya menyelamatkan kesemua mangsa.

Video Muhammad Nor Imran menyelamatkan empat remaja berumur 18 tahun berkenaan yang hampir lemas setelah kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan terjunam di kawasan tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota tular sejak Rabu lepas.

 

Sumber: Bernama

The post Guru KAFA Terima Penghargaan Selamatkan Empat Remaja Hampir Lemas appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments